Friday 22 November 2013

HENTI BEBANKAN PENGGUNA : JINGGA13 BANTAH KENAIKKAN KADAR PERKHIDMATAN ASTRO UNTUK PAKEJ KELUARGA DAN SUKAN


Kenyataan Media

Jingga13 Malaysia

20 November  2013

HENTI BEBANKAN PENGGUNA : JINGGA13 BANTAH KENAIKKAN KADAR PERKHIDMATAN ASTRO UNTUK PAKEJ KELUARGA DAN SUKAN 


JINGGA13 Malaysia membantah tindakan stesen televisyen berbayar Astro menaikkan kadar perkhidmatan langganan bulanannya masing-masing RM2 dan RM6 bagi pakej keluarga dan sukan mulai 24 November ini.

Kami melihat Astro yang selama ini memonopoli perniagaan televisyen berbayar tanah air, mengambil kesempatan melipat gandakan untung tanpa mempertimbangkan bebanan yang ditanggung pelanggan.

Seksyen 199 Akta Komunikasi dan Multimedia memberi kuasa penuh kepada menteri untuk mengawal dan menentukan harga pakej langganan yang ditawarkan Astro. 

Ini jelas membuktikan bahawa
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Mutimedia menyokong tindakan Astro yang membebankan rakyat ini.

Astro Malaysia Holdings Bhd baru-baru ini mengumumkan perolehan RM2.3 billion untuk enam bulan pertama dalam tahun kewangan berakhir 31 Januari 2014 dengan peningkatan sebanyak 13% perolehan.

Ini bermakna Astro telah meraih keuntungan yang sangat luar biasa. 

Justeru tiada alasan untuk pihak Astro meningkatkan kadar bayaran perkhidmatannya sekaligus membebankan rakyat dan pengguna yang sudah sedia terbeban dengan peningkatan kos hidup.


Atas rasa keprihatinan terhadap bebanan yang ditanggung rakyat, JINGGA 13 Malaysia mendesak agar Astro MEMBATALKAN kenaikan kadar perkhidmatan yang berkuatkuasa 24 November 2013.


Kami juga menyeru soladiriti seluruh rakyat Malaysia yang menjadi pelanggan Astro untuk memboikot kenaikan pembayaran tersebut iaitu bagi Pakej Keluarga (RM2) dan Pakej Sukan (RM6).

JINGGA 13 Malaysia juga akan melancarkan gerakan memboikot kenaikan pakej-pakej tersebut melalui pelbagai medium bagi memastikan Astro menghentikan kenaikan kadar perkhidmatan tersebut.

JINGGA 13 Malaysia juga mendesak campur tangan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia agar kenaikan kadar perkhidmatan tersebut dibatalkan dengan SEGERA!

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

Dk. Vicknesvaran @ Dk Vicky
Setiausaha Jingga13 Malaysia