Tuesday 19 April 2022

Salam Nuzul Al Quran 2022 (1443H)



Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur’an yang pertama kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s.


Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w  ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.


Seterusnya al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w beransur-ansur melalui perantaraan Malaikat Jibril Alaihissalam selama 23 tahun, iaitu 13 tahun diturunkan di Mekah dan 10 tahun di Madinah. 

Ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah lima ayat daripada Surah Al-Alaq.


Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.


Nuzul al-Quran merupakan peristiwa penting yang memperlihatkan keagungan dan mukjizat baginda Rasulullah s.a.w.


Memperingati peristiwa Nuzul al-Quran bukanlah sekadar mengetahui sejarah dan tarikh penurunannya. Bahkan, apa yang lebih penting adalah menginsafi matlamat ia diturunkan dan melaksanakannya.


Al-Quran merupakan  satu-satunya kita yang kekal terpelihara sehingga kini. Allah tidak menjadikan sebarang jaminan kepada kitab Taurat dan Injil, lalu ia diubahsuai oleh manusia. Tetapi Allah telah menjamin al-Quran ini terpelihara hingga hari kiamat. 


Pun begitu, al-Quran bukan hanya untuk disimpan sebagai perhiasan dinding atau dalam almari serta bukan juga sebagai selingan ketika sunyi atau menghadapi gangguan makhluk halus. 


Sebaliknya, al-Quran adalah panduan harian kita, yang membimbing kita dalam menghadapi masalah dan cabaran kehidupan kita. Bahkan sebagai panduan hidup bermasyarakat dan bernegara. Barulah kita benar-benar menghargai al-Quran dan memahami tujuan ia diturunkan oleh Allah SWT.


Semoga pada tahun ini kita terus menghayati peristiwa yang bersejarah ini.


Salam Nuzul al-Quran.


MUAFAKAT PRIHATIN BERANI.


#jingga13simpangrenggam

#jingga13johor

#jingga13malaysia