Saturday 9 November 2019

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL 1441H/2019 OLEH YB PENAUNG JINGGA13 MALAYSIA

Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun adalah tarikh yang teramat penting buat umat Islam di seluruh dunia. Tarikh ini bukan sahaja signifikan, malah dekat dengan kita kerana ianya adalah hari kelahiran junjungan besar umat yakni Nabi Muhammad SAW. Idea, prinsip dan gagasan yang dibawa Baginda ternyata bukan suatu yang asing buat setiap mereka yang beragama Islam.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW sudah semestinya sejarah dan perjuangan Baginda menjadi sandaran dan ikutan kita dalam menjalani dan membentuk perjalanan hidup. Perjuangan Baginda yang bermula secara sembunyi hinggalah ke umum dan terbuka pastinya diamati dan dihayati dengan penuh rasa tawadhu’ dan keinsafan.

Gagasan Baginda terkait keadilan, kesaksamaan, menolak keras idea dan faham perkauman sempit, serta ketegasan Baginda dalam menentang kebobrokan dan kezaliman mesti difahami dengan iltizam untuk memaknakannya ke arah islah atau reformasi dalam sistem masyarakat kita.

Mana mungkin juga sekiranya kita gah membicarakan Islam sedangkan ada mereka yang masih lagi dihimpit dan dirundung kemiskinan dan peminggiran. Dalam negara majmuk seperti Malaysia, adalah tanggungjawab setiap orang Islam untuk membela mereka yang lemah dan yang melarat tanpa diambilkira latarbelakang kaum dan agama. Sekiranya ini tidak atau gagal difahami umat Islam, maka kita masih jauh untuk dipandang sebagai umat yang cakna dan progresif.

Mewakili keluarga majmuk KEADILAN saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Maulidur Rasul 1441H/2019 kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

- Dato Seri Anwar Ibrahim


* YB DS Anwar Ibrahim adalah Penang Jingga13 Malasysia 

*  Semua komrad Jingga13 Malaysia diseluruh Malaysia menghayati kenyataan YB Penaung khususnya di perenggan ke 4 .