Wednesday 25 February 2015

ISU QAZAF: JINGGA13 GESA JAMIL KHIR BELAJAR UNDANG-UNDANG ISLAM

Kenyataan Media
JINGGA13 Malaysia

25 Februari 2015

ISU QAZAF : JINGGA13 GESA JAMIL KHIR BELAJAR UNDANG-UNDANG ISLAM

JINGGA13 Malaysia mempertikaikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang disiarkan di dalam MalaysiaKini bertarikh 24 Februari 2015 yang menggesa pihak yang membuat tuduhan jenayah qazaf terhadap peguam Tan Sri Shafee Abdullah dalam kes Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengkaji Seksyen 41 Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga turut menyatakan bahwa "Qazaf itu tuduh orang melakukan zina dan tidak boleh sebut semua (berkaitan) qazaf".

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak pernah mengetahui bahawa telah wujud satu resolusi yang telah dicapai oleh Klinik Hukum Syarak Dan Guaman Syarie Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia berhubung dengan perkara ini bertarikh 18 Ogos 2008.

Di dalam resolusi tersebut antara lainnya menyebutkan bahawa:

"Walaupun Seksyen 41 [merujuk kepada Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997] tidak menyebutkan liwat namun ia termasuk dalam kategori zina menurut Hukum Syarak berdasarkan Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 130(2) yang menyebut bahawa jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak."

Untuk makluman , Klinik Hukum Syarak Dan GuamanResolusiJabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia telah dirasmikan oleh Datuk Syed Hamid Jaafar Albar selaku Menteri Undang-undang pada ketika itu pada 30 Mac 1995.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai seorang Menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama perlu lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dengan perundangan Syariah kerana kenyataannya tersebut seolah-olah cuba mengecilkan lagi skop serta peranan Mahkamah Syariah yang sudah sedia terhad bidangkuasanya di negara kita.

Sepatutnya perkara ini disiasat terlebih dahulu oleh pihak Jabatan Agama di mana aduan ini dibuat dan seterusnya dibawa ke Mahkamah untuk pendakwaan jika sekiranya bukti yang ada mencukupi bahawa Tan Sri Shafee Abdullah benar-benar melakukan kesalahan jenayah syariah tersebut.

Tindakan mempertahankan Tan Sri Shafee Abdullah oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom memperlihatkan sikap double standard dan kami mengesa agar belajar undang-undang Islam sebelum memberikan sebarang komen yang memperlihatkan kegagalan beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga agama Islam.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator
JINGGA13 Malaysia