Saturday 3 January 2015

Laporan Ringkas Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 Malaysia — 1 Jan 2015

‎TEAM Prihatin Jingga 13 tiba  di Kota Bharu Kelantan pada jam 6 pagi, 1 Januari 2015. Kami mula menurunkan barang-barang bantuan kira-kira jam 10 pagi selepas berehat di Bengkel Motorsikal milik salah seorang sukarelawan Jingga 13, Saudara Saiful yang dijadikan Pusat Operasi Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 di Negeri Kelantan. 

Sebelum proses pengagihan, ada sebahagian bantuan telah diberi kepada mangsa banjir yang datang sendiri ke Pusat Operasi secara 'walk in'.

‎Berlaku proses pembungkusan semula bantuan bagi tujuan pengagihan. Semua bantuan mula diagihkan pada kira-kira jam 2 petang melalui dua kumpulan menaiki pacuan 4 roda. 

Team 1 — Diketuai oleh Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Cikgu Fariz Musa, bergerak ke Kampung Pasir Ho, Kota Bharu manakala Team 2 — Diketuai oleh Raja Nazrin, bergerak ke Sungai Sok di Manik Urai dan Kg Pahi, Kuala Krai.

‎Suasana selepas banjir dilihat begitu menyedihkan, banyak kawasan yang tidak menerima bantuan, ditambah dengan kemusnahan harta benda yang begitu menginsafkan kami.


Laporan Ringkas: Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 Malaysia — 1 Januari 2015.

Friday 2 January 2015

Laporan Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 Malaysia — 31 Disember 2014

‎JINGGA 13 Malaysia diketuai oleh Ketua Koordinator, Cikgu Fariz Musa bersama 15 sukarelawan NGO itu, telah berlepas ke Kelantan dalam melaksanakan Misi Prihatin untuk menyampaikan  bantuan yang diterima daripada orang ramai kepada mangsa-mangsa banjir di negeri tersebut.

Lori 10 tan yang sarat dengan muatan bantuan kemanusiaan berlepas dari Shah Alam pada jam 8 malam. Difahamkan, semua bantuan kemanusiaan dikumpulkan melalui satu aktiviti pengumpulan bantuan daripada orang ramai yang dilaksanakan oleh NGO ini.

Difahamkan juga, selain sumbangan orang ramai, pihak kerabat diraja Selangor turut menghulurkan sebahagian besar bantuan kepada Jingga 13 untuk diagih-agihkan kepada mangsa banjir yang memerlukan.

Bantuan kemanusiaan tersebut terdiri daripada bahan makanan, pakaian serta ubat-ubatan ‎dan barangan keperluan harian seperti lampin pakai buang, dan tuala wanita.

Team Prihatin Jingga 13, tiba di lokasi sebuah bengkel motorsikal di Kota Bharu Kelantan, yang dijadikan Pusat Operasi Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 Malaysia‎. Di sini barang-barang bantuan dipunggah dan diturunkan sebelum proses agihan dilakukan kepada golongan sasaran.



Laporan Misi Prihatin (Banjir) Jingga 13 Malaysia
— 31 Disember 2014.