Monday 15 December 2014

Gabungan 16 NGO dan parti politik tetap demo tuntut harga bahan api turun

BY: AHMED SYAHRIL


KUALA LUMPUR, 11 Disember

Gabungan 16 badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan kumpulan aktivis merancang untuk mengadakan demonstrasi di Dataran Merdeka pada malam menjelang tahun baru 31 Disember depan bagi menuntut kerajaan menurunkan harga petrol RON95 ke paras RM1.90 seliter dan kini giat berkempen bagi mencapai sasaran mengumpul 10,000 orang menyertai demonstrasi berkenaan.

Antara 16 ahli gabungan kumpulan itu adalah Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), dan Jingga 13 serta sayap Pemuda PAS, PKR dan DAP.

Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Muhammad Azan Safar berkata, demonstrasi bagi menuntut perkara itu daripada kerajaan dibuat kerana mengambil kira hak rakyat untuk menikmati subsidi petrol dan diesel serta kemampuan kewangan negara.

"Orang ramai diseru untuk turun beramai-ramai dengan memakai baju hitam dan berkumpul di Dataran Merdeka bermula jam 9 malam.

"Kami percaya bahawa tindakan menghapuskan subsidi oleh Barisan Nasional (BN) adalah tidak adil dan memangsakan rakyat.

"Sebagai sebuah negara pengeluar minyak, sebahagian daripada keuntungan hasil minyak dan gas wajib disalurkan kepada rakyat sebagai subsidi supaya ia tidak terkumpul di tangan pemerintah semata-mata," kata Muhammad Azan kepada pemberita dalam sidang media, hari ini.

Beliau turut mendakwa formula apungan harga terkawal yang dikuatkuasakan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini memberi jaminan pembayaran balik kos dan keuntungan kepada syarikat-syarikat minyak sebanyak 30 sen seliter.

"Kami tidak membantah jaminan pembayaran balik kos dan keuntungan seperti ini kepada syarikat-syarikat minyak untuk memastikan bekalan petrol dan diesel tidak tergendala.

"Kami percaya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi jaminan yang sama kepada rakyat dalam bentuk subsidi 30 sen agar harga petrol dan diesel kekal berpatutan dalam keadaan ekonomi sekarang," katanya.

Beliau berkata, TURUN selaku peneraju demonstrasi pada malam tahun baru itu percaya harga yang adil kepada rakyat ialah RM1.90 seliter bagi RON95 setelah mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia, jaminan keuntungan kepada syarikat minyak dan subsidi 30 sen setiap liter.

"Jika hak ini dikembalikan kepada rakyat, jumlah subsidi yang perlu ditanggung hanyalah sekitar RM7 bilion setahun iaitu 10 peratus dari pendapatan minyak dan gas tahunan yang dibayar kepada kerajaan Persekutuan.

"Jumlah ini adalah kecil berbanding perbelanjaan yang lain dan memberi manfaat kepada 30 juta rakyat Malaysia," dakwa beliau lagi.

Turut dilihat hadir dalam sidang media TURUN pada Khamis ialah Setiausaha Agung PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Naib Presiden PAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Ketua Pemuda PAS, Naib Presiden Suhaizan Kayat serta aktivis Hishamuddin Rais.

Rafizi sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan untuk mengadakan demonstrasi jika kerajaan tidak menurunkan harga petrol dan diesel selari dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Pada 31 Disember tahun lalu, ambang tahun baru 2014  di Dataran Merdeka disambut tanpa percikan bunga api, malah konsert yang sedang berlangsung ditamatkan lebih awal sebelum detik 12 malam apabila peserta demonstrasi yang menggelarkan diri mereka Gerakan Turunkan Kos Sara Hidup (TURUN) merempuh masuk ke padang dataran dan mengganggu perjalanan majlis.

Polis menganggarkan kira-kira 5,000 peserta demonstrasi TURUN menceroboh masuk ke Dataran Merdeka setelah merempuh melepasi tiga sekatan pihak berkuasa, dan mengakibatkan dua anggota polis cedera.