Sunday 29 December 2013

Jingga 13 Buat Laporan Polis di IPD Dang Wangi Akibat Fitnah Terancang Dan Akan Saman Polis!!

Semalam satu Malaysia telah digemparkan oleh berita fitnah yang dibawa oleh Blogger-Blogger Umno Barisan Nasional yang mendakwa telah memintas satu e-mail yang mengatakan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang sebagai dalang utama perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan  dengan mengadakan letupan bom tangan pada sambutan ambang tahun baharu di Dataran Merdeka, Selasa depan.


Berdasarkan fitnah dari Blogger-blogger umNO tersebut, Pihak Polis Diraja Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh tanpa membuat siasatan terperinci telah mengadakan satu sidang akhbar tergempar dan mendedahkan perkara tersebut dan secara terang-terangan memfitnah Jingga13 dan beberapa NGO lain terlibat dalam perancangan tersebut.

Berikutan dari fitnah tersebut, Jingga 13 Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Ketua Koodinatornya Saudara Amizudin Ahmat, dengan diiringi oleh Setiausaha dan Ketua-Ketua Panitia Jingga13 yang lain telah  membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi Kuala Lumpur bagi mendesak agar Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur menarik balik dakwaan-dakwaan yang dilemparkan ke atas Jingga13 Malaysia atau berdepan dengan saman malu dari pihak Jingga 13 Malaysia. 



Jingga 13 Malaysia menganggap dakwaan itu hanya untuk mengalihkan perhatian orang ramai tentang peningkatan rantaian harga barangan yang jelas membebankan orang ramai, dan Jingga 13 akan terus komitmen untuk membantah serta membetulkan kembali persepsi orang ramai tentang peranan Jingga13 Malaysia yang teruk tercalar akibat dari fitnah ini.

Peguam Jingga13 Malaysia, Pn. Latheefa Koya pula berkata saman fitnah terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan saluran TV pro UMNO iaitu TV3 dan akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia akan difailkan secepat mungkin.

Latheefa juga mahu Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar untuk disiasat di bawah Seksyen 505 , di mana seseorang individu boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, untuk penerbitan atau apa-apa pernyataan yang beredar, khabar angin atau laporan menyebabkan ketakutan dan kekeliruan kepada orang ramai.

Selain daripada mendapatkan penarikan balik, Jingga13 juga menuntut satu siasatan terhadap Datuk Amar Singh di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana didakwa membuat kenyataan palsu untuk menghasut ketakutan.




Kenyataan Media
JINGGA 13 Malaysia

29 Disember 2013

JINGGA 13 SANGKAL DAKWAAN FITNAH POLIS AKAN TIMBULKAN KEKACAUN,
SENJATA DAN BOM TANGAN

JINGGA 13 Malaysia menyangkal dan membantah serta menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh bahawa JINGGA 13 bersama Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Solidariti Anak Muda Malaysia serta Solidariti Mahasiswa Malaysia akan menimbulkan kekacauan serta membawa pelbagai senjata termasuk bom tangan bagi melakukan kekecohan di Dataran Merdeka pada 31 Disember 2013.

JINGGA 13 mendesak pihak polis mengemukakan bukti bahawa Jingga 13 terlibat dengan segala pertuduhan tersebut dan bukannya berdasarkan daripada risikan yang ternyata dangkal, berniat jahat dan berunsur fitnah yang melampau serta tidak masuk akal.

JINGGA 13 tidak pernah sama sekali mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan kepada mana- mana pihak sama ada melalui apa jua instrumen merancang untuk mengadakan kekacauan , apa lagi bersabit penggunaan senjata dan bom tangan bagi tujuan melakukan kekacauan dan keganasan bagi tujuan mengulingkan kerajaan.

JINGGA 13 menganggap dakwaan tersebut hanyalah untuk mengalihkan isu besar mengenai 'kenaikan berantai' harga barang yang ternyata membebankan rakyat dan JINGGA 13 akan terus komited membantah isu 'kenaikan berantai' harga barang tersebut.

JINGGA 13 tegas menyatakan bahawa segala tuduhan jahat yang dikaitkan dengan JINGGA 13 adalah merupakan fitnah serta bertujuan memburukkan imej kami serta bertujuan menakut-nakutkan rakyat dengan isu kekacauan, huru hara, senjata dan bom tangan.

JINGGA 13 juga mendesak agar Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur menarik balik dakwaan tersebut dan jika tidak, pihak JINGGA 13 juga telah melantik peguam dan tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman fitnah terhadap PDRM, TV3 dan Utusan.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI
Amizudin Bin Ahmat
Timbalan Koordinator
Jingga 13 Malaysia











Laporan oleh 
Affendi Abas 
Koodinator Keahlian
Jingga13 Malaysia