Friday 22 November 2013

Kenyataan Media : JINGGA 13 DESAK SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) SIASAT PERBELANJAAN KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN SERTA MENYANGKAL GESAAN PENGERUSI PERUNDINGAN PENCEGAHAN RASUAH


Kenyataan Media
JINGGA 13 Malaysia

5 Oktober 2013

JINGGA 13 DESAK SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) SIASAT PERBELANJAAN KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN SERTA MENYANGKAL GESAAN PENGERUSI PERUNDINGAN PENCEGAHAN RASUAH

Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah menimbulkan kontroversi terhadap berbelanjaan dana awam antaranya oleh Kementerian Belia dan Sukan berkaitan isu pembiayaan Konsert K-Pop RM1.6 juta sempena Himpunan Jutaan Belia 2012 pada 23-27 Mei 2012 di Putrajaya.

Perkara itu terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 bagi Aktiviti Kementerian/Jabatan Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan Siri 2.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah mengesahkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan  terpaksa membayar kos tersebut kerana banyak penaja telah gagal menyalurkan sumbangan.

Manakala Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan yang bertanggungjawab ketika itu pula mendakwa konsert tersebut dibiayai penaja menerusi akaun Majlis Sukan Negara. Malah beliau telah bertindak memperlekehkan Ketua Audit Negara dengan mendakwa Ketua Audit Negara "culas" dalam menyediakan laporan tersebut.

Kemanakah wang sejumlah RM1.6juta tersebut dan adakah benar ianya telah dibayar Majlis Sukan Negara melalui wang penajaan atau menggunakan wang rakyat oleh Kementerian Belia dan Sukan ?

Kalau sekiranya benar seperti dakwaan mantan Menteri Belia dan Sukan tersebut bahawa konsert K-Pop yang juga mengundang kontroversi kerana berpakaian tidak senonoh dihidangkan kepada para belia telah dibiayai oleh penaja dan syarikat Korperat dimasukkan ke dalam akaun Majlis Sukan Negara , persoalannya ialah kenapa wujud jumlah RM1.6 juta dibelanja untuk membayar Konsert K-Pop dalam penyata perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan ?

Justeru akaun Majlis Sukan Negara perlu dirujuk untuk mengesahkan adakah benar wujud sejumlah RM1.6juta dikeluarkan untuk membiayai kos konsert K-Pop dalam akaun tersebut sepertimana dakwaan  oleh Ahmad Shabery Cheek yang juga merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia sekarang ini.

Malah turut mengundang persoalan terhadap pecanggahan antara Khairy Jamaluddin dan Ahmad Shabery Cheek berkaitan pembiayaan konsert K-Pop tersebut.Siapakah yang benar dan berbohong?

JINGGA 13 Malaysia juga turut mempertikaikan perbelanjaan melampau RM67.61 juta wang rakyat bagi acara Hari Belia Negara 2012 menimbulkan persoalan dan perlu kepada satu siasatan oleh SPRM sepertimana dinyatakan dalam Jadual 16.14 Perbelanjaan Hari Belia Negara 2012 yang mencatatkan  ‘perbelanjaan tinggi, tidak selaras dengan peraturan perbelanjaan berhemat’.

SPRM seharusnya mengambil satu tindakan SEGERA bagi menyiasat secara total terhadap 2 kes tersebut melibatkan wang rakyat yang turut menjadi perhatian dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 dan menimbulkan keresahan kepada rakyat.

Satu penilaian juga harus dibuat terhadap penyelewengan secara 'licik'  dengan mengikut prosedur sistem perbelanjaan kerajaan yang akhirnya tidak dapat diambil tindakan oleh undang-undang sedangkan perbelanjaan tersebut 'tidak masuk akal' dan amat melampau serta tidak munasabah.

JINGGA13 Malaysia juga menyangkal gesaan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Datuk Johan Jaaffar yang meminta agar Ketua Setiausaha Negara (KSN) menubuhkan 'jawatankuasa khas' bagi mengkaji Laporan Ketua Audit Negara 2012 dan membuat cadangan konkrit bagi mengatasi sebarang kelemahan dengan serta-merta.

Apa yang sewajarnya ialah mengambil tindakan setegas-tegasnya dengan menggunakan undang-undang tanpa pilih kasih dan melakukan pendakwaan terpilih.Kajian terhadap laporan yersebut tidak membawa apa-apa makna sekiranya mereka yang terlibat dan bertanggungjawab terhadap ketirisan,penyelewengan dan pembaziran wang rakyat ini terus bebas tanpa sebarang tindakan tegas.

SPRM dan Jabatan Audit Negara harus berganding bahu dengan menggunakan undang-undang bagi mendakwa mereka yang terlibat ke muka pegadilan tanpa prejudis.

Ternyata Laporan Ketua Audit Negara 2012 juga turut memperlihatkan kegagalan tranformasi Datuk Seri Najib Razak yang ternyata terus gagal, bersifat kosmetik dan retorik semata-mata tetapi tidak mampu melaksanakan tatakelola pengurusan dana awam yang benar-benar berhemah,amanah dan bertanggungjawab.

Sehingga kini,Datuk Seri Najib Razak langsung tidak memberikan komen terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2012,malah tidak pernah tegas dalam usaha menyelamatkan wang rakyat daripada dipergunakan secara wewenang yang pernah didedahkan daripada laporan-laporan Ketua Audit Negara sebelum ini.

Muafakat*Prihatin*Berani

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator
JINGGA 13 Malaysia