Tuesday 27 August 2019

RESPON KE ATAS KENYATAAN AKHBAR DARI PEJABAT PERDANA MENTERI TENTANG PROSIDING JAWATANKUASA KABINET BERKENAAN PELAKSANAAN PERJANJIAN MALAYSIA 1963

Kenyataan Media
Jingga13 Sarawak

27 Ogos 2019

*RESPON KE ATAS KENYATAAN AKHBAR DARI PEJABAT PERDANA MENTERI TENTANG PROSIDING JAWATANKUASA KABINET BERKENAAN PELAKSANAAN PERJANJIAN MALAYSIA 1963*

Jingga13 Sarawak mengalu-alukan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 19 Ogos 2019 mengenai isu-isu yang ditangani oleh Jawatankuasa Kabinet mengenai Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa mesyuarat keempatnya yang diadakan pada 23 Julai 2019.

Siaran akhbar ini adalah satu langkah kecil ke arah ketelusan oleh Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dalam menangani salah satu isu paling mendasar yang dihadapi sekarang oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah ke arah kesejahteraan Persekutuan Malaysia.

Sejak usaha terbuka Almarhum Datuk Adenan Satem untuk devolusi kuasa yang telah disokong secara terbuka oleh bekas pemerintah pusat dan kemudiannya menjadi janji pilihan raya yang kuat dan jelas oleh Pakatan Harapan yang kini memerintah sebagai Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak Sarawak di bawah MA63, rakyat Sarawak tidak boleh dipersalahkan jika mereka merasa telah dipermainkan.

Jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu kini digantikan dengan yang lain.

Kajian dan penyelidikan telah dijalankan sampai di London. Adalah jelas kepada rakyat Sarawak bahawa kedua-dua kerajaan mempunyai kehendak, sekurang-kurangnya di luaran, untuk menyelesaikan isu-isu ini demi Malaysia.

Melainkan ada agenda tersembunyi yang dimainkan oleh mana mana satu pihak atau keduanya sekali, tidaklah perlu ada kelewatan lagi dalam pelaksanaan apa yang sepatutnya mengikut MA63, yang mana pengembalian hak inilah menjadi platform yang mendatangkan kejayaan besar Pakatan Harapan semasa PRU14 di Sarawak.

Malangnya, sekarang kita melihat satu lagi langkah terbaru yang mengasingkan perkara yang paling menonjol dan berkesan iaitu perkara minyak dan gas, dari skop Jawatankuasa Kabinet ke tangan dua orang sahaja, walaupun mereka adalah ketua-ketua kerajaan, adalah langkah yang tidak wajar yang bertentangan dengan sejarah.

Harus diperingatkan bahawa MA63 telah berhasil dari suara dan pandangan rakyat, bukannya satu dokumen yang dibuat seorang pemimpin dengan bantuan pemimpin yang lain sahaja. Kita mesti mengambil tauladan bahawa Sarawak telah kehilangan hak hakiki minyak dan gasnya melalui PDA74 tanpa merujuk kepada rakyat.

Jingga13 Sarawak berharap bahawa dalam apa sahaja yang dilakukan, kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sarawak akan peka bahawa rakyat tidak boleh lagi dibohong. Oleh itu, kita mendesak agar setiap langkah perlu diambil supaya segala usaha untuk memulihkan hak Sarawak di bawah MA63 dibuat dengan cara yang paling telus ke arah penyelesaian yang cepat, demi Malaysia.

Muafakat × Prihatin × Berani

*NIKSON ABDILLAH*
Koordinator
Jingga13 Sarawak