Saturday 8 August 2015

MALAYSIA MENUJU NEGARA DIKTATOR. SELAMATKAN MALAYSIA

Jingga13 Malaysia menyelar tindakan Kerajaan UMNOBN membuat tindakan drastik menukarkan secara serta merta dua orang Pegawai Kanan SPRM iaitu Datuk Bahri Mohanad Zin, Pengarah Operasi SPRM dan  Datuk Rohaizad Yaakob, Pengarah Komunikasi Strategik SPRM ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Tindakan tersebut membuktikan Perdana Menteri DS Najib Razak dan Kerajaan UMNOBN sedang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara diktaktor demi menyelamatkan dirinya dalam isu Skandal 1MBD yang sudah tidak mampu dibendung lagi.

Tidak cukup mengarahkan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Pesuruhjayà SPRM bercuti, DS Najib Razak menggunakan PDRM mereman, menyiasat dan mengeledah para penyiasat SPRM dengan cara yang hina, kini bertindak menukarkan dua orang pegawai kanan SPRM tersebut ke JPM membuktikan DS Najib Razak semakin terdesak dan tertekan.

Jingga13 Malaysia percaya segala tindakan yang dilakukan semata-mata untuk menyelamatkan beliau ekoran kebocoran dokumen draf pendakwaan dalam isu melibatkan RM 2.6 billion wang 1MDB yang masuk ke akaun peribadi beliau. Walaupun dengan alasan ianya adalah sumbangan penderma tetapi berdasarkan kepada  tindakan-tindakan yang diambil, alasan tersebut merupakan pembohongan semata-mata bagi tujuan menutup isu tersebut. 

Rakyat Malaysia wajar membuka mata dan menolak segala kediktatoran yang dilakukan oleh Perdana Menteri DS Najib Razak dan memberikan sokongan kepada SPRM. Negara perlu diselamatkan dari seorang Perdana Menteri yang tiada maruah dan merupakan seorang perasuah. 

Selamatkan Malaysia!

Muafakat*Prihatin*Berani

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator
Jingga 13 Malaysia‎

8 Ogos 2015

Tuesday 4 August 2015

JINGGA13 PERTIKAI KEPUTUSAN SIASATAN SPRM ISU SKANDAL RM2.6 BILLION

Jingga13 Malaysia sangsi dan mempertikai kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal RM2.6 billion yang di masukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri DS Najib Razak adalah hasil daripada sumbangan.

Malah SPRM ternyata GAGAL menyatakan siapakah penyumbang yang sangat bermurah hati menyumbangkan RM 2.6 billion tersebut kedalam akaun DS Najib Razak menunjukkan satu tindakan untuk menutup isu dan kes tersebut secara dangkal dan tiada kredibiliti serta menjadikan SPRM sebagai badan yang sangat lekeh dan boleh dipertikaikan.

Jingga13 juga mendesak SPRM mendedahkan siapakah penderma yang sangat bermurah hati menderma RM2.6 billion tersebut kepada DS Najib Razak.

Jingga13 mempersoal atas kapasiti dan sebab apa sumbangan tersebut dilakukan kepada DS Najib Razak dalam jumlah yang sangat luar biasa?

Andai ianya adalah untuk membantu ekonomi negara , kenapa derma tersebut tidak dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara?

Sekiranya sumbangan derma tersebut untuk UMNO , kenapa tidak masuk dalam akaun UMNO? Tetapi dimasukkan ke dalam akaun milik peribadi DS Najib Razak .

Adakah ianya adalah sumbangan atau rasuah?

Kemanakah wang tersebut dibelanjakan kerana mantan Peguam Negara sebelum itu mengesahkan bahawa akaun tersebut sudah pun ditutup? Sungguh luar biasa wang sumbangan daripada penderma berjumlah RM2.6 billion dihabiskan sedemikian rupa!

Jingga13 yakin untuk menyelamatkan diri , DS Najib Razak boleh sahaja mendapatkan mana-mana dokumen daripada sesiapa pun sebagai bukti konon ianya adalah merupakan sumbangan derma dari individu atau pihak tertentu dan bukannya daripada wang 1MDB.

Sehingga sekarang DS Najib Razak tidak mengambil tindakan menyaman Wall Street Journal dan kenapa baru sekarang baru dinyatakan ianya adalah daripada sumbangan setelah mengugurkan TS Muhyidin Yassin dan TS Ghani Patail serta mengambil masa yang agak lama.

Kenyataan SPRM yang tidak ditandatangani oleh sesiapa pun serta tanpa fakta yang jelas telah menimbulkan kesangsian terhadap keputusan siasatan oleh SPRM dan dilihat semata-mata menyelamatkan DS Najib Razak serta memperlihatkan SPRM sebagai badan yang tiada maruah, profesional, berintegriti dan kredibiliti.

SPRM juga gagal menunjukkan ketelusan apabila tidak ada sebarang tindakan untuk menahan DS Najib Razak untuk diambil keterangan sepertimana lazimnya dilakukan kepada sesiapa yang dituduh melakukan salahlaku tersebut tetapi mengeluarkan kenyataan rasmi selepas 48jam pejabat SPRM digeledah oleh Cawangan Khas.

Jingga13 yakin bahawa rakyat seluruh Malaysia yang bijak tidak akan mempercayai kenyataan hasil siasatan SPRM tersebut dan mempercayai RM2.6 Billion tersebut adalah wang 1 MDB yang telah diseleweng ke akaun peribadi DS Najib Razak dan percaya adakah ini adalah satu konspirasi yang betujuan menyelamatkan DS Najib Razak?

Muafakat*Prihatin*Berani

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator
Jingga13 Malaysia
JINGGA13 SELAR TINDAKAN PENANGKAPAN PARA DEMONSTRAN #TANGKAPNAJIB

JINGGA13 Malaysia menyelar tindakan Polis DiRaja Malaysia menangkap 29 para demonstran #TangkapNajib di Sogo hari ini sebagai satu tindakan anti demokrasi dan melanggar hak asasi serta kebebasan bersuara dan berhimpun yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan .

Turut ditahan ialah Sdr. Afzainizam bin Abdul Rahman , Koordinator Anak Muda Jingga13 Malaysia bersama para demonstaran lain dengan cara cukup brutal oleh pihak polis memberikan gambaran yang jelas tindakan yang bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat demi mempertahankan kebobrokkan dan penyelewengan seorang Perdana Menteri dalam skandal 1MDB. 

Tindakan ini membuktikan bahawa DS Najib Razak semakin tertekan dan mengesahkan segala dakwaan terhadap skandal adalah benar sehingga menggunakan polis untuk menekan rakyat. 

JINGGA 13 Malaysia mendesak agar kesemua tahanan tersebut dibebaskan segera dan tidak dikenakan sebarang tindakan. Apa yang perlu diberikan perhatian oleh pihak polis ialah menangkap DS Najib Razak demi menyelamatkan Malaysia yg dicintai. 

JINGGA13 Malaysia yakin walaupun apa tindakan oleh Rejim Najib Razak tidak akan melunturkan semangat dan perjuangan anak muda dan rakyat Malaysia. 

#BebaskanTahanan
#TangkapNajib
#DemiMalaysia

Muafakat*Prihatin*Berani

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator
Jingga13 Malaysia

1 Ogos 2015