Saturday 14 March 2015

MENGECAM TINDAKAN PENAHANAN FARIZ MUSA OLEH POLIS DI RAJA MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA
Jingga13 Malaysia

11 MARCH 2015

MENGECAM TINDAKAN PENAHANAN FARIZ MUSA OLEH POLIS DI RAJA MALAYSIA

JINGGA13 menyelar penangkapan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN dan juga Ketua Koordinator Jingga13, Saudara Fariz Musa dibawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan disiasat mengikutSeksyen 143 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam perhimpunan #KitaLawan. 
                        
JINGGA13 merujuk kepada keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya pada April 2014 yang diketuai Hakim Datuk Mohd Ariff Mohd Yusof yang mengisytihar Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) sebagai tidak sah serta bertentangan perlembagaan. Tidak ada dalam Akta itu yang membolehkan pihak berkuasa mengisytiharkan perhimpunan aman sebagai haram. Jelas juga bahawa apa-apa hukuman kepada yang tidak memberikan notis 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan, adalah tidak sah. 

Sehubungan itu, JINGGA13 percaya penangkapan dan siasatan polis bukan sahaja kepada Fariz Musa tetapi rakan-rakan lain bermotifkan politik.

JINGGA13 amat kesal dan kecewa dengan pihak polis yang membuat intimidasi untuk menahan peserta himpunan bermula dengan saudara Saifullah Zulkifli, kemudian saudara Nik Nazmi dan kini saudara Fariz Musa.

JINGGA13 juga difahamkan lebih ramai anak muda #KitaLawan bakal dipanggil pihak polis dengan alasan untuk siasatan.

Tindakan ini dilihat seperti satu tindakan yang terdesak untuk menakutkan dan menyekat suara rakyat khususnya anak muda yang merupakan bukti salah guna kuasa dan merupakan 'contempt of court'. 

Perlembagaan Persekutuan memberikan jaminan terhadap hak asasi dan kebebasan rakyat serta keadilan untuk semua kaum di negara ini.

JINGGA13 dengan tegas mengingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang serta akta.

Semua undang-undang dan mana-mana akta lain hendaklah tidak bertentangan dengan perlembagaan seperti termaktub dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa "Perlembagaan Persekutuan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan hendaklah terbatal setakat mana yang berlawanan itu".

Selain itu, pihak Jingga 13 turut berasa musykil dengan tindakan PDRM yang telah menyoal siasat Fariz Musa mengenai satu perhimpunan yang dikenali sebagai "Protes Pensel Merah" yang telah dianjurkan oleh pengamal media --Gerakan Media Marah (GERAMM) pada 4 Januari 2014 tahun lalu.

Persoalan kami adalah; (i) Kenapa Fariz Musa di soal mengenai protes terbabit sedangkan ia adalah satu anjuran oleh pihak pengamal media dan bukan daripada beliau

(ii) kenapa setelah sekian lama, setelah 15 bulan baru pihak PDRM ingin menyoal siasat beliau mengenai protest terbabit

Apakah motif disebalik soal siasat tersebut?

JINGGA13 mendesak PDRM hentikan serta merta budaya menakut-nakutkan rakyat dengan menggunakan akta yang diperakui tidak sah.

Pihak polis tidak boleh sama sekali melarang mana mana perhimpunan rakyat, asalkan ianya tidak membawa kerosakan harta benda, tidak bersenjata dan tidak mudaratkan keselamatan orang awam.

Jika berterusan, rakyat akan muak danmelihat Ketua Polis Negara tidak memahami kehendak Akta Perhimpunan Aman, atau menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan pihak tertentu serta integriti PDRM akan semakin tercalar.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

Mikhael Iskhandaar Abdullah
Naib Koordinator
Jingga 13 Malaysia