Wednesday 25 February 2015

HIMPUNAN #KITALAWAN 7 MAC DESAK NAJIB UNDUR

KENYATAAN MEDIA

HIMPUNAN #KITALAWAN 7 MAC DESAK NAJIB UNDUR

Sekretariat #KitaLawan memutuskan bahawa himpunan di hadapan Sogo pada setiap hari Sabtu jam 4.00 petang akan diteruskan walaupun terdapat penangkapan yang dibuat oleh pihak Polis terhadap peserta himpunan pada minggu lepas. Ini adalah sejajar dengan pendirian gabungan #KitaLawan yang mana himpunan akan diteruskan setiap minggu sehingga tuntutan kami dipenuhi.

Maka, himpunan besar akan diadakan pada 7 Mac 2015 dengan tumpuan khusus supaya Dato' Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan segera dan seterusnya membebaskan saudara Anwar Ibrahim. Gesaan kami dibuat bersandarkan fakta-fakta yang menunjukkan kegagalan beliau menjalankan tugas sebagai pemimpin utama negara seperti berikut:-

1.      Memusnahkan kewibawaan Institusi Kehakiman dengan memenjarakan Saudara Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik melalui konspirasi Fitnah 2.

2.      Meletakkan kedudukan kewangan negara dalam bahaya melalui skandal 1MDB dimana hutang 1MDB yang mencecah puluhan bilion Ringgit bakal ditanggung oleh rakyat.

3.      Hiprokasi beliau terhadap isu-isu hak asasi manusia yang mana akta-akta zalim dan drakonian seperti Akta Hasutan masih digunakan untuk menghukum rakyat demi melindungi kuasa dan kedudukan beliau.

4.      Ketidak pedulian beliau terhadap ekonomi rakyat terutamanya dengan meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sedangkan beliau, keluarga mahupun pimpinan UMNO Barisan Nasional yang lain terus bermewah dan berbelanja dengan boros.

5.      Pengurusan ekonomi negara yang lemah dan tiada kekuatan menolak dasar ekonomi yang tidak adil kepada rakyat seperti masih mengadakan rundingan perjanjian TPPA, gagal menghapuskan cukai eksais kereta yang melampau dan sebagainya.

6.      Meminggirkan nasib golongan muda yang berhadapan dengan kos sara hidup tinggi, pengangguran, kualiti pendidikan yang merudum dan mahasiswa tiada kebebasan akademik.

7.      Masalah rasuah, penyelewengan dan ketirisan yang terus berleluasa dimana tiada keikhlasan mahupun usaha (political will) dibawah kepimpinan beliau untuk membanterasnya sedangkan pemberi maklumat terus dihukum.

8.      Tuntutan-tuntutan khusus rakyat seperti pilihanraya yang bersih dan adil, royalti minyak, anti-Lynas, dan pelbagai isu-isu lain langsung tidak didengar dan dihiraukan.

9.      Menyekat kebebasan media dimana media arus perdana hanya menjadi saluran penyebaran agenda UMNO dan pemerintahan beliau masih menggunapakai amalan lapuk permit penerbitan bagi menghadkan saluran-saluran media alternatif.

10.  Menggalakkan kewujudan kumpulan-kumpulan ekstrimis perkauman atau agama seperti Perkasa seolah-olah kepimpinan beliau mahu membiarkan agar berlakunya ketegangan kaum dan agama.

11.  Penyalahgunaan institusi-institusi kerajaan seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi tersebut.

12.  Kes pembunuhan Altantuya yang masih menjadi tanda tanya dan pengakuan Sirul bahawa ada arahan atasan untuk melakukan pembunuhan tersebut perlu diperjelaskan.

Kami percaya terdapat banyak lagi bukti-bukti kegagalan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. Jika dibiarkan, lebih banyak lagi kerosakan dan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Justeru itu, kami mengajak rakyat Malaysia untuk mengambil langkah yang pertama untuk memperbetulkan halatuju masa depan negara iaitu dengan bersama-sama menyertai anak muda untuk turun beramai-ramai pada 7 Mac 2015 bagi mendesak Dato' Seri Najib Razak meletakkan jawatan dengan segera.

 

25 FEBUARI 2015

SEKRETARIAT #KITALAWAN

ISU QAZAF: JINGGA13 GESA JAMIL KHIR BELAJAR UNDANG-UNDANG ISLAM

Kenyataan Media
JINGGA13 Malaysia

25 Februari 2015

ISU QAZAF : JINGGA13 GESA JAMIL KHIR BELAJAR UNDANG-UNDANG ISLAM

JINGGA13 Malaysia mempertikaikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang disiarkan di dalam MalaysiaKini bertarikh 24 Februari 2015 yang menggesa pihak yang membuat tuduhan jenayah qazaf terhadap peguam Tan Sri Shafee Abdullah dalam kes Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengkaji Seksyen 41 Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga turut menyatakan bahwa "Qazaf itu tuduh orang melakukan zina dan tidak boleh sebut semua (berkaitan) qazaf".

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak pernah mengetahui bahawa telah wujud satu resolusi yang telah dicapai oleh Klinik Hukum Syarak Dan Guaman Syarie Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia berhubung dengan perkara ini bertarikh 18 Ogos 2008.

Di dalam resolusi tersebut antara lainnya menyebutkan bahawa:

"Walaupun Seksyen 41 [merujuk kepada Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997] tidak menyebutkan liwat namun ia termasuk dalam kategori zina menurut Hukum Syarak berdasarkan Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 130(2) yang menyebut bahawa jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak."

Untuk makluman , Klinik Hukum Syarak Dan GuamanResolusiJabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia telah dirasmikan oleh Datuk Syed Hamid Jaafar Albar selaku Menteri Undang-undang pada ketika itu pada 30 Mac 1995.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai seorang Menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama perlu lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dengan perundangan Syariah kerana kenyataannya tersebut seolah-olah cuba mengecilkan lagi skop serta peranan Mahkamah Syariah yang sudah sedia terhad bidangkuasanya di negara kita.

Sepatutnya perkara ini disiasat terlebih dahulu oleh pihak Jabatan Agama di mana aduan ini dibuat dan seterusnya dibawa ke Mahkamah untuk pendakwaan jika sekiranya bukti yang ada mencukupi bahawa Tan Sri Shafee Abdullah benar-benar melakukan kesalahan jenayah syariah tersebut.

Tindakan mempertahankan Tan Sri Shafee Abdullah oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom memperlihatkan sikap double standard dan kami mengesa agar belajar undang-undang Islam sebelum memberikan sebarang komen yang memperlihatkan kegagalan beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga agama Islam.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator
JINGGA13 Malaysia

Monday 23 February 2015

FARIZ MUSA: WALAU APA JUGA TEKANAN , LAWAN TETAP LAWAN !

Kenyataan Media

22 Februari 2015

WALAU APA JUGA TEKANAN,LAWAN TETAP LAWAN !

Saya telah dibebaskan bersama Aktivis Anak Muda Adam Adli dari lokup Balai Polis Jinjang Kuala Lumpur setelah ditahan selama satu malam di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Tindakan menahan kami oleh pihak polis selepas himpunan aman di hadapan Sogo semalam adalah membuktikan desperado pihak Pokis dan Kerajaan UMNOBN bagi tujuan mengekang kebangkitan rakyat khusus dalam perjuangan pembebasan Tahanan Politik DS Anwar Ibrahim yang dipenjara oleh satu konspirasi jahat yang dilaksanakan bagi tujuan mematikan karier politik dan perjuangan beliau. Walaupun DS Anwar Ibrahim terpenjara, jiwanya tetap medeka!

Saya ingin nyatakan pendirian untuk tidak akan tunduk terhadap apa jua tekanan dan akan terus bangkit #KitaLawan bagi menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman ke atas DS Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia oleh Kerajaan UMNOBN pimpinan Perdana Menteri DS Najib Razak.

Saya juga merakamkan jutaan terima Kasih kepada semua pihak yang telah berdoa dan hadir ke Balai Polis Jinjang sebagai tanda solidariti sebagai sahabat sejati perjuangan.

We will not surrender! Lawan tetap lawan!

FARIZ MUSA
Ketua Setiausaha Pengelola
Parti Keadilan Rakyat

Ketua Koordinator
Jingga13 Malaysia

JINGGA 13 SELAR TINDAKAN POLIS TANGKAP FARIZ MUSA DAN DAN ADAM ADLI

Kenyataan Media
Jingga13 Malaysia

JINGGA 13 SELAR TINDAKAN POLIS  TANGKAP FARIZ MUSA DAN DAN ADAM ADLI

Assalammualaikum salam sejahtera

Jingga13 Malaysia menyelar tindakan pihak Polis Diraja Malaysia menangkap Ketua Koordinator Jingga13 Malaysia Dfr Fariz Musa dan Aktivis Anak Muda Sdr Adam Adli di bawah Seksyen 144 Kanun Keseksaan dan melihat penangkapan ini adalah satu tindakan yang tidak perlu dibuat oleh PDRM.

Tindakkan ini menggambarkan PDRM hanyalah sekadar mahu menunjukkan kuasa dan bersifat Intimidasi Politik untuk menakut-nakutkan selain mengelirukan rakyat terhadap hak rakyat untuk berhimpun secara aman yang dijamin dalam artikel 10 perlembangan persekutuan.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa kami Jingga13 Malaysia tidak terkesan langsung dengan ugutan politik bersifat kuku besi seperti ini, kerana kami sedar bahawa kami berhimpun secara aman tanpa membawa sebarang senjata sekaligus tindakan kami ini selari dengan perlembagaan.

Kami Jingga 13 Malaysia kecewa, Pihak polis yang kita harapkan bagi mempertahan dan mendukung perlembagaan termasuk menjamin hak berhimpun secara aman oleh rakyat semalam telah mengkhianati kita.
Jelas merekalah yang melanggar perlembagaan.

Kami seru semua rakyat Malaysia bangkit, dan tidak gentar untuk berhimpun bagi menyatakan bantahan secara aman kerana itu merupakan hak kita yang dijamin oleh perlembagaan.

Kami jemput semua rakyat Malaysia menyertai kami untuk terus menunjukkan solidariti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana-mana sahaja di bumi Malaysia ini, sama ada di depan
Penjara Sungai Buloh setiap hari, ataupun di depan SOGO di Ibu Negara pada hari Sabtu setiap minggu.

Kami juga menjemput semua rakyat berhimpun dan menunjukkan solidariti pada Himpunan Kemuncak #KitaLawan di Ibu Negara pada 7 Mac 2015 ini.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

Mikhael Iskhandar Abdullah
Naib Ketua Koordinator JIngga 13 Malaysia