Saturday 20 September 2014

JINGGA 13 SELANGOR MENYOKONG WAN AZIZAH SEBAGAI MENTERI BESAR SERTA MERAYU DAN MERAFA' SEMBAH DYMM TUANKU SULTAN MENYELESAIKAN KEMELUT MENTERI BESAR SELANGOR

Kenyataan Media
JINGGA13 SELANGOR

20 September 2014

JINGGA 13 SELANGOR MENYOKONG WAN AZIZAH SEBAGAI MENTERI BESAR SERTA MERAYU DAN MERAFA' SEMBAH DYMM TUANKU SULTAN MENYELESAIKAN KEMELUT MENTERI BESAR SELANGOR

JINGGA13 SELANGOR  menyatakan pendirian sokongan kepada YB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,ADUN Kajang merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat sebagai Menteri Besar Negeri Selangor Darul Ehsan bagi mengantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah meletakkan jawatan .

Sebagai NGO dan rakyat negeri Selangor yang mempertahankan institusi raja perlembagaan dan kecintaan kepada negeri Selangor sudah pasti mengharapkan kemelut yang panjang dalam isu perlantikan Menteri Besar Selangor diselesaikan dengan segera agar negeri Selangor terus maju ke hadapan dan menjadi sebuah negeri yang cemerlang khususnya di bawah naungan DYMM Tuanku Sultan Selangor.

JINGGA13 SELANGOR yakin berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor,Fasal 53(2)(a) memperuntukkan bahawa Sultan perlulah melantik seorang Menteri Besar yang pada hemat baginda telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan. Justeru apa saja budibicara DYMM Tuanku Sultan untuk melantik seorang Menteri Besar, kami yakin baginda tidak akan sesekali melanggari  Fasal 53(2)(a) kerana seseorang Menteri Besar mesti mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan.

Sebagai Ahli Dewan,YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah memperolehi 30 majoriti Ahli Dewan sepertimana peruntukkan Fasal 53 (2)(a) tersebut yang mewajarkan atas kebijaksanaan DYMM Tuanku Sultan melantik beliau sebagai Menteri Besar yang baru serta mengangkat kedaulatan raja berperlembagaan lebih-lebih lagi DYMM Tuanku Sultan sangat disayangi oleh rakyat jelata.

JINGGA13 SELANGOR yakin bahawa YB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mampu menjadi seorang Menteri Besar yang berdedikasi berdasarkan rekod beliau memimpin Parti Keadilan Rakyat selama 16 tahun,Ahli Parlimen selama 3 penggal ,Ketua Pembangkang serta perjuangan beliau yang terus konsisten memperjuangkan isu-isu rakyat dan ke arah sebuah Kerajaan yang baik.

Justeru JINGGA13 Selangor dengan rendah diri merafa' sembah ke bawah DYMM Tuanku Sultan agar kemelut yang panjang ini disudahi dengan bijaksana dan segera melantik YB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Dato Menteri Besar Selangor.

JINGGA13 SELANGOR memohon agar seluruh rakyat Negeri Selangor  bertenang dan tidak menimbulkan pelbagai persepsi dan polemik yang akan menjejaskan keharmonian negeri Selangor yang tercinta ini. Kami juga mengharapkan supaya apabila selesai sahaja isu dan kemelut Menteri Besar ini untuk sama-sama kita merapatkan saf dan muafakat ke arah membangunkan negeri Selangor yang lebih cemerlang dan gemilang.

JINGGA13 SELANGOR akan bersama-sama Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar yang baru ke arah menjana kecemerlangan serta kedaulatan rakyat dan negeri Selangor .

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

AFZAINIZAM BIN ABDUL RAHMAN
Koordinator
JINGGA13 Selangor

Timbalan Setiausaha 2
JINGGA13 Malaysia