Friday 5 September 2014

PAS mesti dedah calon MB Selangor, demi muafakat Pakatan Rakyat

Kenyataan Media
JINGGA13 Malaysia

4 September 2014

PAS mesti dedah calon MB Selangor, demi muafakat Pakatan Rakyat

Laporan portal mStar mendakwa Parti Islam Semalaysia (PAS) telah menghantar tiga nama ADUN-ADUN dari parti itu sebagai calon Menteri Besar Selangor telah menambah kekeliruan dan spekulasi liar dalam muafakat Pakatan Rakyat berhubung isu Menteri Besar Selangor sekaligus memburukkan ‎nama baik PAS sebagai sebuah Parti Islam yang seharusnya berpegang kepada janji.

Jingga 13 bimbang apabila ada ruang dan peluang terbuka, maka ada pihak tertentu cuba menangguk di air keruh untuk menghancurkan muafakat Pakatan Rakyat,  sebagai satu-satunya gabungan parti-parti politik yang mampu memberi saingan kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Justeru ‎Jingga 13 merayu agar sebarang peluang terbuka ini harus ditutup bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan dalam kesempitan dengan menimbulkan pelbagai spekulasi bagi menambah kekeliruan dan syak wasangka dalam Pakatan Rakyat berhubung kemelut isu MB Selangor.

Jingga 13 berpendapat, PAS mesti mendedahkan nama ‎calon-calon MB Selangor yang dihantar kepada Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menutup ruang spekulasi yang memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat secara umumnya sepertimana ketelusan PKR dan DAP yang konsisten menamakan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,ADUN Kajang kepada umum.‎

‎Jika PAS enggan mendedahkan nama-nama calon yang dihantar kepada DYMM Sultan Selangor, ia jelas akan menimbulkan pelbagai fitnah serta persepsi yang merosakkan. 

Muafakat*Prihatin*Berani

Fariz Musa
Ketua Koordinator
Jingga 13 Malaysia‎