Thursday 27 February 2014

MICHEAL CHIA DI TANGKAP : JINGGA 13 DESAK POLIS BUKA SIASATAN WANG SELUDUP RM40 JUTA UNTUK UMNO SABAH DAN MUSA AMAN

Kenyataan Media
JINGGA13 Malaysia

27 Februari 2014

MICHEAL CHIA DI TANGKAP : JINGGA 13 DESAK POLIS BUKA SIASATAN WANG SELUDUP RM40 JUTA UNTUK UMNO SABAH DAN MUSA AMAN

Pads 16 Oktober 2012 JINGGA13 Malaysia telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi berkaitan kes penyeludupan wang haram sejumlah RM40 juta kepada UMNO Sabah yang turut mempalit Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman , Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Mohammad Nazri Aziz.

JINGGA13 Malaysia mengalu-alukan kenyataan SPRM semalam berkaitan hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhkan ke atas Michael Chia, melibatkan kes yang membabitkan permit membalak di Sabah. Ternyata ianya adalah salah satu kes utama yang memberi gambaran bagaimana permit membalak telah disalahgunakan oleh ahli-ahli politik dan pegawai awam untuk membina kekayaan dan kemewahan peribadi.

Justeru berdasarkan laporan polis yang pernah dibuat oleh JINGGA13 yang melibatkan satu skandal penyeludupan wang haram sejumlah RM40 juta yang sehingga sekarang tidak ada sebarang status siasatan oleh pihak polis perlu dibuka kembali kerana wang tersebut mempunyai hubungkait dengan lesen pembalakan yang membawa pulangan lumayan kepada ahli politik UMNO di negeri Sabah sepertimana tindakan SPRM di mana Michael Chia disabitkan jenayah melibatkan permit balak di Sabah.

JINGGA13 Malaysia meminta pihak polis bertindak secara telus dan profesional tanpa prejudis menyiasat sehingga ke akar umbi dan bukan bertindak sambil lewa apabila melibatkan VVIP . Sikap ini sudah pasti akan membina persepsi negatif kepada pihak polis yang dilihat pilih masih  dan tidak mempunyai integriti .

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator
JINGGA13 Malaysia

MICHAEL CHIA DIJATUHKAN HUKUMAN: BUKA KEMBALI SIASATAN TERHADAP MUSA AMAN - Rafizi

Saya alu-alukan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengenai hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhkan ke atas Michael Chia. Kes yang membabitkan permit membalak di Sabah itu adalah salah satu kes utama yang memberi gambaran bagaimana permit membalak telah disalahgunakan oleh ahli-ahli politik dan pegawai awam untuk membina kekayaan peribadi.
 
Kejayaan pendakwaan terhadap Michael Chia itu membuktikan bahawa SPRM berkemampuan mengumpul bukti yang baik untuk memastikan pendakwaan yang berjaya.
 
Hukuman bersalah ke atas Michael Chia itu menghidupkan kembali banyak pertanyaan mengenai siapa di belakangnya?
 
Michael Chia tidak mempunyai apa-apa pengaruh atau jawatan di dalam kerajaan, maka dia sendiri tidak ada kuasa untuk memberikan permit membalak. Hakikatnya dia boleh mengutip wang dari syarikat-syarikat balak memberi gambaran bahawa syarikat dan pengusaha balak tahu bahawa dia menjadi orang tengah bagi pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa dan pengaruh dalam menentukan pemberian permit balak.
 
Sebab itu, keputusan bersalah yang dijatuhkan kepada Michael Chia menguatkan spekulasi mengenai kes wang RM40 juta yang sebelum ini menjadi kontroversi melibatkan Ketua Menteri Sabah, Dato Sri Musa Aman. Fakta kes sebelum ini melalui pelbagai bukti pemindahan wang, keterangan SPRM dan maklumat dari ICAC di Hong Kong menunjukkan bahawa memang ada pemindahan wang berjumlah RM40 juta tetapi ia tidak disiasat sebagai rasuah keraa wang itu dikatakan derma politik kepada Umno Sabah.
 
Dengan keputusan bersalah ini, saya menyeru supaya SPRM membuka kembali siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman dalam kes wang RM40 juta yang dikaitkan dengan kutipan dari syarikat-syarikat balak kerana bukti-bukti pemindahan wang melibatkan Michael Chia sendiri.
 
Keputusan bersalah terhadap Michael Chia ini juga adalah satu tamparan kepada Dato’ Seri Nazri Aziz yang mempunyai hubungan dengan Michael Chia, terutamanya apabila anak beliau menggunakan kereta mewah milik Michael Chia seperti yang saya dedahkan sebelum ini. Apatah lagi apabila Dato’ Seri Nazri Aziz sendiri yang tampil di Parlimen menjelaskan bahawa tidak ada unsur rasuah di dalam kes-kes melibatkan Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia yang mengundang kontroversi sebelum itu.
 
Walaupun keputusan terhadap Michael Chia ini adalah satu peningkatan baik yang ditunjukkan SPRM, rakyat memerhati sama ada SPRM bakal mendakwa penjawat-penjawat awam berpangkat tinggi yang terlibat sama.
 
Jika tidak, selama-lamanya SPRM dilihat hanya mendakwa bilis sedangkan jerung terus terlepas.
 

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
 
27 Februari 2014

Wednesday 26 February 2014

KERAJAAN SELANGOR AMBIL ALIH KONSESI AIR, UMUM TIGA TANGGUNGJAWAB UTAMA

KENYATAAN AKHBAR
26 FEB 2014

KERAJAAN SELANGOR AMBIL ALIH KONSESI AIR, UMUM TIGA TANGGUNGJAWAB UTAMA
 
 
Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membolehkan Kerajaan Selangor mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi.
 
Pengambilalihan ini dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan dan keempat-empat syarikat ini akan diletakkan di bawah satu syarikat konsortium air di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) iaitu syarikat milik penuh kerajaan Selangor.
 
Empat syarikat konsesi itu ialah Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS).
 
Pengambilalihan ini akan melibatkan pengambilalihan pegangan ekuiti serta tangggungjawab dan tidak  melibatkan pemberhentian kakitangan bukan pengurusan.
 
KDEB akan membayar RM9.65 bilion kepada pemegang saham empat syarikat konsesi terbabit manakala Kerajaan Persekutuan menyuntik RM2 billion untuk membantu Kerajaan Negeri dalam urusan pengambialihan saham.
 
Sebagai balasan, Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran merancang untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2).
 
Sementera menunggu Langat 2 disiapkan, Kerajaan Selangor akan melaksanakan tiga tanggungjawab utama untuk memastikan bekalan air bersih mencukupi iaitu:
 
1.      Menjalankan program mitigasi bernilai RM900juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan
2.      Memulakan projek Horas (Hybrid Off River Augmentation System) di Sungai Selangor yang mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 Juta Liter Sehari (MLD) atau 3 bilion liter pada 2050. Majlis pecah tanah projek ini akan diadakan dalam tempoh dua minggu dari sekarang
3.      Menurunkan peratusan air tidak berhasil (NRW) dari 33 % kepada tahap yang lebih rendah dalam tempoh enam bulan.  Peratusan tinggi NRW yang gagal diturunkan oleh SYABAS adalah punca utama bekalan air bersih tidak mencukupi.
 
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili di atas kerjasama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri air di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
 
MoU ini tepat pada masanya ketika rakyat bergelut dengan krisis bekalan air dan ini jelas membuktikan industri air perlu distruktur  semula supaya perkhidmatannya lebih cekap dan mampan dengan kadar tariff air yang munasabah.
 
YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR