Friday 7 March 2014

ISU MOU AIR: KEPUTUSAN MESYUARAT MAJLIS PRESIDEN PAKATAN RAKYAT

KENYATAAN MEDIA
7 Mac 2014

Pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada 6 Mac 2014, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah memberikan penjelasan kepada pimpinan tertinggi parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Dato' Seri Tn Guru Hj Abdul Hadi Awang, sdr Lim Kit Siang, dan saya sendiri.

Seusai mesyuarat tersebut, Majlis Presiden telah sebulat suara menyatakan sokongan pada dasarnya kepada usaha Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menstruktur semula industri air negeri Selangor.

Di dalam mesyuarat tersebut, pimpinan Pakatan Rakyat telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi serta memberikan nasihat dan pandangan bagi memastikan proses penstrukturan industri air ini memberikan pulangan dan natijah yang terbaik kepada Kerajaan Negeri Selangor serta rakyat Selangor, termasuk perkara-perkara yang disentuh di dalam MOU di antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan.

Oleh itu, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat telah mencapai persetujuan bahawa Kerajaan Negeri Selangor di dalam konteks penstrukturan industri air ini akan terus mendapatkan maklum balas daripada satu jawatankuasa khas Pakatan Rakyat yang diwakili Rafizi Ramli, Tony Pua dan Dr Dzulkefly Ahmad.

Satu persetujuan juga telah dicapai untuk melibatkan Tn Tommy Thomas, pakar perundangan, di dalam proses ini sebagai wakil bebas yang mewakili rakyat Selangor bagi memastikan perjanjian yang kukuh di sisi undang-undang menjaga kepentingan rakyat Selangor.

Mereka akan bertanggungjawab bekerjasama dengan Kerajaan Selangor di dalam pelaksanaan penstrukturan industri air ini termasuklah menyemak dan memberi maklumbalas kepada perjanjian-perjanjian yang bakal ditandatangani oleh Kerajaan Selangor di dalam isu ini.

Dato' Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum KEADILAN