Saturday 8 March 2014

BLACK7 : JINGGA 13 BANTAH KEPUTUSAN ZALIM TERHADAP DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Kenyataan Media
JINGGA 13 Malaysia

8 Mac 2012

BLACK7 : JINGGA 13 BANTAH KEPUTUSAN ZALIM TERHADAP DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

JINGGA13 Malaysia melahirkan kekecewaan dan membantah  keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang telah membenarkan rayuan pendakwaraya dan seterusnya mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan. Kami berpendapat keputusan tersebut telah dibuat tanpa mengambil kira keraguan yang wujud ke atas sampel DNA serta fakta-fakta berkaitan yang dikemukakan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang lalu.

JINGGA13 Malaysia juga mempersoalkan tindakan mahkamah yang tidak membenarkan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes tersebut iaitu Jude Blaciose Pereira untuk  dipanggil semula oleh pihak pembelaan .Ternyata ianya telah menafikan hak tertuduh bagi mempertahankan dirinya daripada dakwaan tersebut.

Keputusan yang dibuat kelmarin juga seolah-olah menggambarkan dendam kesumat politik berterusan pemerintah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlaku sejak lebih 15 tahun yang lalu.
Ini adalah merupakan titik hitam kepada sistem perundangan di Malaysia dan merupakan satu penghinaan kepada badan kehakiman yang sepatutnya bebas daripada dikuasai oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan peribadi.

JINGGA 13 Malaysia juga ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa dakwaan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim janganlah dilihat sebagai isu peribadi beliau dan keluarganya semata-mata. Bahkan ianya adalah merupakan isu seluruh rakyat Malaysia. Ini kerana jika sekiranya pemerintah yang ada sekarang ini tergamak melakukannya ke atas mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia , apatah lagi kita sebagai rakyat marhaen yang tidak pernah mempunyai apa-apa kedudukan?

Kes Datuk Seri Anwar Ibrahim ini perlu dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang parti politik sebagai satu titik tolak ke arah membebaskan institusi  kehakiman negara kita daripada cengkaman para penguasa yang zalim. Selagimana institusi dan sistem kehakiman negara kita masih berada di bawah cengkaman pemerintah, maka selagi itulah keadilan sebenar tidak akan mampu dicapai.

JINGGA 13 Malaysia bersama seluruh cawangan Jingga 13 di seluruh Malaysia menyatakan pendirian bersama-sama dengan Pakatan Rakyat untuk memberikan sokongan padu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam mengharungi musibah besar yang berlaku ke atas beliau dan juga ahli keluarga beliau. Kami yakin seluruh rakyat Malaysia akan bersama-sama menyokong sebarang bentuk tindakan yang diambil bagi membantah kezaliman yang berlaku  di dalam negara ini. Kita mesti berani berubah demi sebuah Malaysia yang baru.

MUAFAKAT*PRIHATIN *BERANI

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator
JINGGA 13 Malaysia