Thursday 13 March 2014

BACAAN IPU MENCECAHI 200 : GURUBESAR SEKOLAH DIMINTA MENDAPAT KEIZINAN JABATAN PELAJARAN UNTUK MENUTUP SEKOLAH BUAT SEMENTARA WAKTU SEHINGGA KEADAAN JEREBU BERTAMBAH BAIK

Tarikh:  13hb Mac 2014
 
KENYATAAN AKHBAR
 
BACAAN IPU MENCECAHI 200
GURUBESAR SEKOLAH DIMINTA MENDAPAT KEIZINAN JABATAN PELAJARAN UNTUK MENUTUP SEKOLAH BUAT SEMENTARA WAKTU SEHINGGA KEADAAN JEREBU BERTAMBAH BAIK 


Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Pelabuhan Kelang dilaporkan telah mencecahi bacaan 200 ("Sangat Tidak Sihat") dengan bacaan setinggi 203 pada Jam 1300 hari ini dan ianya sedang meningkat, sedangkan di lain-lain kawasan sekitar Selangor juga dilaporkan bacaan IPU yang melebihi 100 ("Tidak sihat").

Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang terkini membenarkan sekolah ditutup apabila IPU mencecahi peringkat "Sangat Tidak Sihat" (200-300). Dengan ini, saya menyarankan supaya pihak pentadbiran sekolah di sekitar Klang mengambil tindakan yang sewajarnya dan menutup sekolah sementara selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.

Selagi bacaan IPU melebihi 100, segala aktiviti luar seharusnya dikurangkan dan orang ramai diminta memakai toping muka sepanjang masa mereka berada di luar rumah.

Kerajaan Negeri Selangor akan mula mengagihkan 180,000 toping muka sekali guna, mulai 14hb Mac melalui semua pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri di seluruh negeri Selangor.

Sejak bulan Januari tahun ini, pihak Bomba sudahpun bertungkus lumus untuk mengawasi keadaan semasa serta memadamkan sebarang kebakaran belukar mahupun kerja pembakaran terbuka dengan bantuan yang diberi oleh pelbagai agensi-agensi kerajaan termasuk Kerajaan Tempatan, Pejabat Daerah, Jabatan Perhutanan dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, pihak Bomba mendapat terlalu banyak kes pembakaran yang susah untuk diatasi. Oleh kerana ini, saya memohon kerjasama daripada penduduk-penduduk tempatan dan organisasi supaya membantu pihak Bomba seberapa boleh dalam usaha memadamkan sebarang kebakaran di kawasan masing-masing.

Kerajaan Negeri Selangor berpendapat bahawa keadaan jerebu yang dialami adalah hasil sumber dari luar dan dalaman. Untuk mengatasi pembakaran di negeri Selangor, pelbagai agensi kerajaan Selangor, terutama sekali Kerajaan Tempatan, Pejabat Daerah dan Jabatan Perhutanan telahpun memberi segala kerjasama membantu pihak Bomba dalam usaha pemadaman kebakaran. Perintah Larangan Pembakaran Terbuka masih lagi berkuatkuasa.

Sehingga kini, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah membuka 12 kertas siasatan terhadap pemilik-pemilik tanah persendirian yang melakukan pembakaran terbuka dengan tujuan untuk membawa mereka menghadap ke mahkamah. Sekiranya bersabit kesalahan di bawah Akta Alam Sekitar 1974, orang yang melakukan pembakaran secara terbuka akan dikenakan denda sehingga lima ratus ribu ringgit, ataupun dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lima tahun, ataupun kedua-duanya.

Pada Jam 1800, 13hb Mac, 2014, pihak Bomba Selangor bersama pelbagai agensi-agensi di Selangor masih lagi bergiat untuk memadamkan api hasil dari pembakaran terbuka yang dikesan di kawasan-kawasan berikut:
 
1.     KM 21.5 Kesas Highway – 2 ekar
2.     Sungai Tinggi/Tengi, Hulu Selangor – 380 ekar
3.     Sungai Bendana, Merbau Berdarah – 73 ekar
4.     KM 24.8 Elite Highway (Pulau Kempas) – 60 ekar
5.     Felcra Estate, Kuala Langat – 15 ekar
6.     Jalan Sopan, Klang – 5 ekar
7.     Tanjung 12 – 5 ekar

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor telah pernah meminta bantuan daripada pihak Skuad Polis Maritim Bombardier (APMM) menggunakan perkhidmatan pengebom air di Kuala Langat minggu lepas. Namun usaha  tersebut tidak berhasil kerana tiada kesan kepada pembakaran tanah gambut di tapak tersebut, maka aktiviti ini telah diberhentikan buat masa ini.
 
 
YB ELIZABETH WONG
PENGERUSI JAWATANKUASA TETAP PELANCONGAN, HAL EHWAL PENGGUNA DAN ALAM SEKITAR (EXCO) KERAJAAN NEGERI SELANGOR