Tuesday 4 February 2014

PAS PUSAT DAN SELANGOR BANTU PRK N25 KAJANG

Kenyataan Media Presiden PAS

Selasa 4 Februari 2014

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengadakan Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya pada jam 9.00 malam, Isnin 3 Februari 2014 bertempat di Pejabat Agung PAS Pusat. Mesyuarat ini telah membincangkan isu-isu politik semasa antarabangsa dan tanahair termasuklah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kawasan Dewan Undangan Negeri N25 Kajang setelah berlaku kekosongan berikutan perletakan jawatan ADUN Kajang yang memenanginya dalam PRU13 yang lalu.

Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini. Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat iaitu YB Dr Mohd Hatta Ramli pula dilantik untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam PRK ini. Dalam pada itu juga, ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit.

Mesyuarat juga merakamkan kecaman terhadap hukuman gantung sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh terhadap mantan Menteri Pertanian (2001 - 2003) dan Menteri Industri (2003 - 2006) Bangladesh yang juga merupakan Ameer Jamaat Islami Bangladesh, Maulana Matiur Rahman Nizami. Beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil dan berdepan dengan berbagai ancaman ketika perbicaraan. PAS mendesak agar pihak Tribunal tidak sepatutnya menjadi penghukum politik kepada kerajaan yang terdesak, dan seharusnya mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS