Thursday 20 February 2014

MEMORANDUM MEMOHON PEKENAN DYMM YANG DIPERTUAN AGONG DAN MAJLIS RAJA-RAJA MEMPERTIMBANGKAN MENANGGUH PERLANTIKAN PEHIN SERI TAIB MAHMUD SELAKU TYT SARAWAK

Tarikh : 2/19/14

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda yang Di Pertuan Agong dan Ahli Majlis Raja-Raja yang dihomati

MEMORANDUM MEMOHON PEKENAN DYMM YANG DIPERTUAN AGONG DAN MAJLIS RAJA-RAJA MEMPERTIMBANGKAN MENANGGUH PERLANTIKAN PEHIN SERI TAIB MAHMUD SELAKU TYT SARAWAK

Kami, yang menandatangani di bawah, dengan rasa rendah diri memohon pekenan dan kebijaksanaan Duli yang Maha Mulia yang di Pertuan Agong dan seluruh Majlis Raja-raja agar dapat kiranya mengambil timbang tara supaya dapat ditangguhkan perlantikan Pehin Seri Taib Mahmud bagi mengisi kedudukan selaku Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke – 7 di atas sebab-sebab berikut:

Daulat Tuanku;

Siasatan sedang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pehin Seri di atas pertuduhan-pertuduhan salah laku yang kini masih dalam proses siasatan. Menurut kenyataan akhbar SPRM bertarikh 29 Jun 2013, siasatan tersebut sudah dilakukan dan kini menunggu sama ada pihak SPRM akan menyerahkan bukti kepada pihak pendakwa untuk meneruskan dakwaan atau terus menutup kes tersebut. Kami memahami proses dan menghormati bidang tugas SPRM sama ada mendakwa atau tidak, tetapi biarlah pekenan perlantikan tersebut hanya berlangsung setelah SPRM memberikan kata putus sama ada untuk menyerahkan bukti untuk dakwaan atau pun menutup kes.

Dakwaan terhadap Pehin Sri Taib Mahmud ini adalah serius dan melibatkan kepentingan dan keselamatan umum. Keputusan menggantung pekenan dan perlantikan Pehin Seri Menjadi TYT Negeri Sarawak ini bukan sahaja bertepatan dengan perlembagaan, bahkan bertepatan dengan semangat undang-undang.

Pihak Keadilan sanggup sekiranya ke bawah duli dan majlis Raja-Raja berkenan meneliti senarai nama lain yang lebih berkelayakan menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baru. Antaranya Tan Sri Dato Sri Abang Haji Abu Bakar bin Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, bekas menteri pertahanan atau Tan Sri Datuk Abang Haji Ahmad Urai bin Datuk Hakim Abang Haji Mohidin, bekas yang di pertua Dewan Negara adalah antara contoh nama yang boleh diketengahkan.

Kita semua adalah hamba Allah swt yang diutuskan dimuka bumi memegang sedikit amanahNya. Kami, pacal yang hina, bermohon Duli Yang Maha Mulia dan sekalian Majlis Raja-raja dapat meneliti peringatan dari Allah swt kepada kita ini dimana tidak kurang dari 56 ayat yang menyebut tentang keadilan. Suka kami bawakan satu ayat sebagai peringatan kita bersama:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.(Al Maidah : 8)
Kami bermohon sembah dihadapan Duli Yang Maha Mulia dan juga Majlis Raja-raja yang bersidang agar dapat kiranya menyegerakan keputusan tindakan dan siasatan, sekiranya terdapat bukti, terhadap pehin seri bagi menamatkan polemik ini.

Akhir sekali, kami bermohon agar calon yang lebih baik dapat dilantik dikalangan rakyat Sarawak yang tidak mempunyai kepentingan politik, keraguan permasalahan jenayah dan juga mampu mentadbir dengan baik dengan adil dan saksama dan bukan dengan cara memecah belahkan kaum serta menekan lagi rakyat negeri Sarawak.

Kami pacal yang hina ini, bermohon sembah agar dapat kiranya permohonan kami ini selaku rakyat Duli yang Maha Mulia dipertimbang dan diperkenankan bagi terus memastikan kancah kekacauan dan kebobrokan yang berlaku dinegeri Sarawak ini dapat direda lantas di hapuskan.

MAJLIS PERHUBUNGAN NEGERI
PARTI KEADILAN RAKYAT
NEGERI SARAWAK