Wednesday 5 February 2014

Asal-Usul Kajang: PR Wajar Ambil Ikhtibar

Oleh: Fariz Musa

"sebelum kewujudan Kajang , terdapat satu kawasan penempatan orang asli dan melayu yang bernama Reko. Pada suatu hari ada dua orang sahabat,seorang melayu , seorang orang asli telah menaiki sampan melalui Sungai Langat untuk menuju pulang. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya lalu mereka berhenti berteduh. Sahabat melayu mengajak rakannya untuk berkajang' di situ. Pada  orang melayu berkajang bermaksud berteduh, tapi pada fahaman orang asli berkajang bermaksud bertikam . Oleh kerana salah faham , maka orang asli telah menikam rakannya itu. Maka dengan itu, tempat tersebut telah diberi nama Kajang" - sumber lisan ( sumber: Perpustakaan UKM )


Peristiwa tersebut tidak ada siapa pun mampu mengiyakannya kerana sumbernya adalah sebuah cerita lisan, tiada fakta yang menyokongkannya . Mitos ini tiada siapa pun tahu tarikh kejadian serta pengesahan yang menjadi asal-usul nama Kajang.

Namun ceritanya mungkin ada signifikan boleh diterima akal kerana salah faham komunikasi ( miss communication ) sehingga berlakunya peristiwa berdarah tersebut atau mungkin ada yang membacanya terasa lucu serta disangsi dan dipertikaikan  kesahihannya kerana dengan mudah orang asli tersebut menikam rakan melayunya kerana salah faham tanpa usul periksa dan bertanyakan sebab musabab mereka perlu bertikam dan sudah pasti diperbetulkan oleh rakan melayu itu!

Tiba-tiba nama Kajang menjadi sangat panas, mungkin sepanas bara arang satay kajang  ekoran perletakkan jawatan secara drastik dan mengejutkan Ahli Dewan Undangan N25 Kajang CC Lee yang menimbulkan kontroversi dan mengundang pelbagai persepsi .

Kajang menjadi isu yang sangat panas serta mengundang pelbagai spekulasi dan persepsi sama ada secara positif dan negatif oleh semua pihak sama ada oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat serta seterunya UMNOBN bagai "cacing kepanasan" . Kehangatan ini bukan sahaja menimbulkan reaksi di kalangan politikus, malah turut mendapat respon daripada ahli akademik , penganalisis politik serta orang awam. Lebih ketara isu Kajang terus 'dikipas' oleh media massa , media internet dan media sosial.

Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat secara negatif dan positif  mengundang perdebatan. Ada yang dilihat bersifat egois serta amat kasar dan hingga sanggup untuk memboikot PRK dan membiarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendirian dan ada yang melihat relevan PRK Kajang dan tindakan positif Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kepentingan PR dan rakyat Selangor untuk terus utuh di Selangor .

Sudah pasti yang akan bertepuk tangan ialah UMNOBN , yang bakal menikmati 'satay' hasil daripada kontrovesi dan polemik dalam PR sendiri. Pertelingkahan dan serangan beberapa kenyataan yang dilihat begitu ekstrim dan prejudis terhadap PRK Kajang termasuk melalui media sosial mereka yang dijadikan bahan kepada pimpinan dan media UMNOBN khususnya Utusan Malaysia dan TV3.

Serangan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula dan lebih ketara apabila  beliau diumumkan  sebagai calon Parti Keadilan Rakyat, dengan pelbagai tomahan dan kejengkelan. Apa lagi ditomah dengan pelbagai kemaruk yang sengaja direka . Namun semua itu tidak sedikit pun mengugat keteguhan dan keyakinan Ketua Umum PKR dan Penasihat Ekonomi Selangor tersebut. Datuk Seri Anwar sedikit pun tidak membalas segala siri serangan oleh mana-mana pihak malah memberikan penjelasan secara rasional khususnya kepada rakyat Kajang.

Walaupun dalam pergeseran pendapat dan pandangan oleh mana-mana pihak,  namun atas solidariti bersama Pengerusi DAP Karpal Singh lebih awal  menyatakan pendirian yang cukup tegas memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan membantu memastikan kemenangan N25 Kajang.

Akhirnya 4 Februari 2014, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang selepas mesyuarat Lujnah Politik dan Pilihanraya PAS Pusat dalam kenyataan rasmi beliau menyatakan pendirian PAS Pusat dan PAS Selangor akan membantu PRK N25 Kajang yang diwakili oleh PKR.

Diharapkan komitmen ini memberikan impak positif serta mereda dan  menghentikan segala pandangan negatif serta mengambil sikap positif kearah perpaduan dan iltizam bersama kerana musuh sebenar adalah UMNOBN. Solidariti dan komitmen bersama PR sudah pasti akan menghancurkan konspirasi jahat UMNOBN yang akan menggunakan pendekatan memecahbelahkan PR.

Suka atau tidak N25  sudah dikosongkan dan PRK tetap akan dilaksanakan berdasarkan lunas Perlembagaan Negara dan sudah pasti seteru yang sama akan dihadapi iaitu Barisan Nasional yang diwakili MCA (walaupun ada ura-ura UMNO inginkan kerusi Kajang daripada MCA). 

Keyakinan wajar diberikan bahawa tindakan yang diambil sehingga CC Lee sanggup bertindak mengosongkan N25 Kajang bukanlah satu keputusan yang mudah dan sekadar main-main atau suka-suka. Malah ianya dibincangkan secara serius diperingkat Kepimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat. Bagi PKR khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim keputusan yang diambil ini bukanlah bersifat populis dan apatah lagi langsung tidak bersifat peribadi tetapi terpaksa dilaksanakan demi kepentingan Pakatan Rakyat di Selangor bagi memastikan segala agenda UMNOBN untuk menawan selangor akan dikuburkan dan bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Rakyat Selangor melaksanakan agenda reformasi ke arah Selangor yang lebih cemerlang demi kepentingan rakyat Selangor.

Mitos asal-usul Kajang wajar dijadikan ikhtibar kepada semua pihak jangan kerana 'salah faham' antara sesama sendiri atau rakan akhirnya kita 'bertikaman' , yang pastinya meninggalkan sejarah kehancuran dan  mengundang kekalahan.

Hentikan segala kenyataan yang mengamit perpecahan dan memahami bahawa politik adalah seni yang adakala sukar difahami dan memerlukan kepada kefahaman yang tertentu , malah strategi bukan semua boleh diberitahu secara terbuka. Kebijakkan politik perlu dihayati sepenuhnya agar kerangka besar PR untuk menawan Putrajaya dapat dilaksanakan pada PRU14.

Jangan kerana 'salah faham' akhirnya kita 'bertikaman' sesama sendiri yang sudah pasti  tidak membawa apa-apa manafaat tetapi akan membawa natijah kehancuran.

Mitos tersebut biarlah menjadi sejarah atau cerita rakyat yang tidak perlu berulang kembali.

Muafakat kita!