Saturday 4 January 2014

Sekat media, gantung The Heat, demokrasi terbaik di dunia? – Lim Kit Siang



KUALA LUMPUR, 4 JANUARI: Penggantungan akhbar The Heat merupakan bukti kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik di dunia.
Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika ditemui dalam Protes Pensel Merah, di ibu kota, hari ini.
Beliau yang juga bekas wartawan berpendapat, pentadbiran Najib bukan sahaja tidak menghormati demokrasi, malah melanggar segala aspek demokrasi itu sendiri.
“Jika benar beliau mahu menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik didunia, mengapa aspek demokrasi itu sendiri tidak dihormati? Batalkan segera penggantungan The Heat.
“Dalam isu The Heat, apa yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dan Najib bukanlah menggantung tapi mengambil perhatian terhadap laporan itu, kemudian mencari jalan memperjelas serta membetulkannya dengan tidak lagi mengamalkan pemborosan.
“Jika tidak diperjelas dan perbetul kesalahan sendiri, sampai bila-bila rakyat akan bercakap mengenainya,” ujar beliau yang hadir secara bersahaja sebagai tanda solidariti dan tidak berucap sebagaimana kebiasaan protes jalanraya.
Katanya, dalam isu kebebasan media, DAP dan Pakatan Rakyat (PR) akan berjuang serta terus mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya membatalkan segala sekatan.
“Kami akan terus desak sekatan kepada media dibatalkan dan mahukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dimansuhkan serta merta.
“Ke mana perginya semangat dan prinsip demokrasi jika media disekat?,” soalnya lagi.
Tambah Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu, melalui tekanan dan pencabulan terhadap media seperti yang berlaku kini, tidak mustahil kedudukan Malaysia dalam statistik Reporters Without Borders akan semakin menjunam tahun ini.
“Saya percaya statistik yang akan dikeluarkan hujung tahun nanti, prestasi negara lebih rendah kedudukannya malah lebih teruk dari Myanmar,” katanya. – Roketkini.com