Sunday 5 January 2014

Laporan Polis Jingga13 Terengganu Terhadap TS Harussani Zakaria Isu Bughah

KENYATAAN MEDIA
JINGGA 13 TERENGGANU

JINGGA 13 TERENGGANU LAPOR POLIS BERHUBUNG ISU BUGHAH YANG DITIMBULKAN OLEH TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA.

Jingga 13 Terengganu mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak yang melabelkan para demonstran yang berhimpun pada malam 31 Disember 2013 lalu sebagai penderhaka kepada kerajaan dan mengaitkan mereka yang berhimpun pada malam tersebut sebagai bughah yang dihalalkan darahnya menurut syarak.

Lebih malang lagi, Tan Sri Harussani Zakaria terus mempertahankan kenyataannya tersebut sepertimana yang dilaporkan di dalam portal: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/walau-diserang-mufti-perak-pertahan-kenyataan-bughah-dan-halal-darah yang bertarikh 5hb Januari 2013.

Jingga 13 Terengganu mempersoalkan kewajaran Tan Sri Harussani Zakaria mempertahankan kenyataannya tersebut yang mana ianya boleh membawa kepada pertumpahan darah di dalam negara kita akibat salah faham di kalangan masyarakat.

Malahan jikalau dirujuk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh ulamak mazhab Syafie berhubung dengan tindakan yang perlu dilakukan oleh pemerintah Islam apabila wujud bughah di dalam sesebuah negara yang berada di bawah pemerintah Islam, perkara utama yang perlu dilakukan ialah pemerintah Islam tersebut wajib berusaha menghantar wakil untuk bertanya tentang tuntutan mereka dan urusan pemerintahan yang mereka tidak senangi.

Justeru, Jingga 13 Terengganu percaya, sebagai seorang pendokong kuat kepada mazhab Syafie dan sekarang ini berstatus sebagai seorang Mufti, Tan Sri Harussani Zakaria sepatutnya lebih arif berkenaan dengan perkara ini dan tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan walaupun ianya adalah merupakan pendapat peribadi beliau semata-mata. Ini kerana status beliau sebagai seorang Mufti akan menyebabkan setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut beliau akan dianggap sebagai fatwa oleh kebanyakan orang dan ianya akan mengundang malapetaka yang besar di dalam negara kita.

Sebagai rekod, para demonstran telah turun berhimpun di Kuala Lumpur pada malam 31hb Disember 2013 baru-baru ini sebagai menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barang, tol dan elektrik. Jingga 13 Terengganu percaya bahawa bantahan tersebut disuarakan oleh golongan yang mempunyai pendapatan rendah yang tertekan dengan kenaikan kos sara hidup berkenaan.

Tan Sri Harussani Zakaria perlu lebih peka dengan keadaan masyarakat sekeliling yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa bertungkus-lumus untuk menyara kehidupan diri dan keluarga. Adilkah kenyataan Tan Sri Harussani Zakaria yang melabelkan golongan yang membantah kenaikan harga barang ini sebagai bughah?

Syariat Islam mempunyai kriteria tertentu bagi mengenalpasti samada sesuatu golongan itu boleh dianggap bughah atau sebaliknya. Di dalam hal ini, Jingga 13 Terengganu mencabar Tan Sri Harussani Zakaria sendiri supaya mengemukakan bukti bahawa golongan yang membantah kenaikan harga barang ini sebagai bughah.

Dan jika sekiranya beliau mampu membawakan bukti-bukti konkrit mengenai dakwaannya tersebut, adakah harus beliau mengeluarkan kenyataan "halal darah golongan bughah" tanpa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh ulamak iaitu pihak pemerintah perlu memberi nasihat dan mengajak golongan tersebut berbincang.

Jingga 13 Terengganu meminta Tan Sri Harussani Zakaria supaya berhati-hati mengeluarkan pendapat yang berkaitan dengan hukum syarak di dalam isu bughah ini kerana bimbang ianya akan mengundang fitnah di kalangan masyarakat bukan Islam dan menggalakkan pertumpahan darah di dalam negara.

JINGGA 13 Terengganu membuat laporan polis agar pihak polis mengambil tindakan segera ke atas beliau di bawah peruntukan seksyen 503 dan 505 (c) Kanun keseksaan.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

W.M.AZZIADI
Koordinator
JINGGA 13 Terengganu