Wednesday 1 January 2014

Kumpullah Bukti Banyak Mana Pun Sebelum Kami Saman !

Polis kumpul bukti ke atas 4 NGO - Malaysiakini
Bernama | 2:46PM Jan 1 2014

Polis akan mengumpul bukti dan keterangan saksi berhubung perhimpunan haram yang mengganggu sambutan ambang tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur malam tadi.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rashid ketika ditemui Bernama berkata sehubungan itu beliau menyeru semua pihak yang terlibat untuk tampil ke hadapan membuat laporan polis.

"Kita akan mengambil tindakan mengikut lunas perundangan dan sekarang bukti dan keterangan sedang dikumpul untuk disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.

Pada 11.30 malam tadi, perhimpunan haram itu, yang dihadiri 4,000 peserta, bertukar ganas dan merencatkan konsert Ambang Tahun Baharu anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terpaksa dihentikan setengah jam sebelum detik jam 12 malam.

Akibat tindakan agresif peserta perhimpunan itu, tiga anggota polis tercedera dan polis turut menemui empat parang dan tiga pisau di dalam sebuah longkang di Kompleks Dayabumi, yang terletak tidak jauh dari kawasan perhimpunan haram itu.


Polis sebelum ini menamakan empat NGO sebagai terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram berkenaan iaitu Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Pada 24 Dis lalu polis telah menahan Pengerusi TURUN, Mohd Azan Safar, 24, mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, dan Seksyen 124 (B) Kanun Keseksaan kerana menghasut selain cuba menggulingkan kerajaan tanpa mengikut sistem demokrasi.

Salleh berkata polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan tersebut kerana polis telah menerima sebanyak 1,936 laporan polis daripada NGO dan individu yang membantah perhimpunan itu daripada diadakan.

"Ini menunjukkan majoriti daripada 28 juta rakyat di negara tidak suka kepada perhimpunan seperti itu kerana mereka yakin dengan sistem demokrasi di negara ini.

"Rakyat tahu banyak cara betul untuk salurkan masalah-masalah mereka termasuk meminta wakil rakyat menyuarakan masalah di Parlimen dan perhimpunan seperti itu bukan jalan penyelesaiannya," katanya.

Salleh turut memuji  polis telah menjalankan tugas secara profesional malam tadi dalam mengawal situasi tersebut.

- Bernama

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.