Friday 3 January 2014

‘Fatwa’ Harussani: Jingga 13 buat laporan polis - Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Jingga 13 Malaysia hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menyatakan mereka yang hadir pada himpunan 31 Disember lalu sebagai 'bughah' iaitu penderhaka kepada kerajaan dan halal darah mereka.

Berkata kepada media, Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, laporan tersebut dibuat di bawah seksyen 503 dan 505 (C) Kanun Keseksaan.

Jelasnya, Harussani wajar bertanggungjawab dan bersifat matang dalam mengeluarkan sebarang fatwa dan kenyataan iaitu menghasut dan mendorong untuk melakukan keganasan.

"Kita menyelar kenyataan Mufti Perak yang melabelkan para demonstran yang berhimpun pada 31 Disember sebagai penderhaka kepada kerajaan dan dihalalkan darah.

"Ia merupakan satu kenyataan yang penuh dangkal dan tidak masuk akal sebagai seorang yang bergelar mufti dan sangat memalukan.

"Malah kenyataannya itu turut dilihat menghasut dan mendorong untuk melakukan keganasan, kecederaan termasuk melakukan pembunuhan terhadap mereka yang hadir pada perhimpunan aman itu," jelasnya.

Tambah beliau, pihak polis perlu mengambil tindakan tegas atas kenyataan tersebut yang dilihat boleh menimbulkan suasana yang tidak diingini.

"Laporan tersebut telah diterima oleh Inspektor Khairul Rizuan dan kita harap tindakan tegas segera diambil oleh pihak polis," katanya.

Menurut beliau, Jingga 13 mendukung Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu rakyat dibenarkan untuk berhimpun dan terbukti perhimpunan tersebut berlangsung dengan aman dan tidak berlaku kekacauan seperti yang dilabelkan oleh pihak tertentu.

"Jelas segala kenyataan pihak tertentu mengenai penggulingan kerajaan dan kekacauan hanya fitnah semata-mata," sambung beliau.

Beliau yang dalam pada itu turut menggesa agar Mufti Perak itu meletakkan jawatan dengan segera agar intitusi mufti dapat dijaga dengan lebih baik dan bukan menjadi telunjuk kepada Umno-Barisan Nasional.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan undang-undang terhadap Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang mengaitkan Jingga 13 sebaga penganjur perhimpunan dan melebalkan sebagai usaha mengguling kerajaan, jelasnya, perkara tersebut telah pun dirujuk kepada peguam untuk tindakan selanjutnya.