SELAMAT DATANG

BLOG RASMI JINGGA 13 MALAYSIA [BLOG DIBINA SEJAK 22 NOVEMBER 2013] http://jingga13malaysia.blogspot.com

Monday, 30 December 2013

Polis Kuala Lumpur nafi kaitkan empat NGO dengan letupan bom malam Tahun Baru


Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Ishar Singh (gambar) menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengaitkan empat badan bukan kerajaan (NGO)  dengan perancangan letupan bom  pada sambutan malam Tahun Baru 31 Disember ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.


Katanya beliau hanya menyebut rancangan pengeboman itu dilakukan oleh individu lain manakala empat NGO itu pula dikenal pasti sebagai kumpulan utama yang terbabit dalam perhimpunan dikatakan bertujuan menggulingkan kerajaan malam esok.

"Ketika sidang akhbar, saya menyebut tentang empat NGO itu dikenal pasti akan hadir dan berhimpun di situ. Perhimpunan itu pula salah di sisi undang-undang dan mereka tidak dibenarkan berhimpun kerana tidak memohon sebarang permit.


"Kenyataan saya tentang ancaman bom dan senjata berbahaya itu tidak menjurus kepada NGO terbabit sebaliknya berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh individu di laman Facebook sebelum ini," katanya dipetik berkata kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.


Sabtu lalu, pihak berkuasa mendedahkan empat NGO iaitu Solidariti Anak Muda Malaysia (Samm), Jingga 13 dan Solidariti Mahasiswa Malaysia merupakan gerakan yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.


Amar mengulas mengenai ugutan saman RM100 juta oleh Samm berhubung tuduhan tersebut sambil menegaskan pihaknya mempunyai bukti kukuh penglibatan empat NGO itu dalam merancang perhimpunan berkenaan.


Katanya, ugutan saman yang dilakukan NGO itu sama sekali tidak akan menyebabkan polis memberhentikan siasatan "Itu (saman) hak mereka...tetapi mereka harus ingat polis juga mempunyai bukti berdasarkan siasatan yang telah dibuat," katanya.


Dalam sidang akhbarnya terdahulu, Amar Singh juga mendakwa penganjur perhimpunan haram tersebut dipercayai akan mendirikan khemah di sekitar Dataran Merdeka dengan membawa pelbagai senjata termasuk bom tangan bagi melakukan kekecohan, Amar  berkata, pihak polis tidak akan teragak-agak menahan pihak yang cuba mencetuskan huru-hara di bawah Akta Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.


Beliau berkata hasil risikan mendapati beberapa kumpulan dan badan bukan kerajaan akan terlibat dalam perhimpunan itu bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka ke atas kerajaan dan seterusnya mahu menimbulkan kekacauan.


Susulan dakwaan itu Pengerusi Samm, Badrul Hisham Shahrin dalam satu kenyataan semalam berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan berkenaan dan akan memulakan proses saman sebanyak RM100 juta terhadap Polis Kuala Lumpur.


Katanya, kenyataan Amar semalam amat mengejutkan kerana mengaitkan dirinya dan Samm dengan tuduhan menganjur himpunan menggulingkan kerajaan.


Selain Samm, Jingga 13 juga bakal bertindak menyaman Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur itu sekiranya beliau masih tidak menarik balik tuduhan tersebut.


Jingga 13 juga akan mengemukakan saman ke atas Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), media pro kerajaan seperti TV3, dan Utusan Malaysia kerana berterusan menggelarkan Jingga13 sebagai gerakan menggulingkan kerajaan.