Tuesday 24 December 2013

Jom Datang Ramai-Ramai ! Organisasi media kongsi pentas untuk 'The Heat'



Pertama kali dalam sejarah, wakil akhbar-akhbar penting atas talian bergabung dalam sebuah forum bagi menyatakan bantahan terhadap penggantungan The Heat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).Diadakan Jumaat ini di Kuala Lumpur, forum anjuran gabungan longgar kumpulan wartawan Gerakan Media Marah (GERAMM) itu akan membariskan wakil Malaysiakini, The Malaysian Insider (TMI) dan Free Malaysia Today (FMT).

Wakil Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan pemantau kebebasan media Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang berpangkalan di Paris akan turut serta.

Ahli panel terlibat Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan, Penolong Pengarang Berita TMI V Anbalagan, Ketua Pemberita FMT G Vinod, wakil RSF di Malaysia Hata Wahari dan penerbit bebas Ronasina.

Ia akan berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), Kampung Attap, Kuala Lumpur pada Jumaat ini (27 Disember) pada jam 8.30 malam.

Dalam kenyataannya hari ini, GERAMM memaklumkan, selain isu The Heat, forum yang akan dipengerusikan oleh wartawan veteran Zulkifli Sulong itu akan turut membincangkan masalah lain kebebasan media.

Antaranya, menurut kenyataan itu lagi, isu keganasan terhadap pengamal media sewaktu perhimpunan BERSIH 3.0 pada 2012 dan masalah permit penerbitan dan kawalan Akta Mesin Cetak Penerbitan.

Ia juga akan membincangkan masalah akhbar-akhbar pembangkang serta layanan parti politik, tidak kira daripada BN atau Pakatan Rakyat terhadap petugas media.


~Malaysiakini