KUALA TERENGGANU – Jingga 13 Terengganu meminta Naib Ketua Puteri Umno, Shahanim Md Yusuf menarik balik kenyataannya berhubung isu ‘perut’ kepada rakyat negara ini.

Merujuk kenyataan beliau kepada sebuah portal berita baru-baru ini, Shahanim mendakwa rakyat seolah-olah memikirkan perut sendiri berbanding isu menjelang pilihan raya umum.
Koordinator Jingga 13 Terengganu, Wan Mohd Azziadi Wan Abd Jalil bagaimanapun menyifatkan kenyataan itu  sebagai biadab.

“Dalam hal ini, Jingga 13 mewakili seluruh rakyat Malaysia menggesa supaya Shahanim menarik balik kenyataan mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, di sini.

Pada masa sama katanya, kenyataan sedemikian juga seolah-olah menunjukkan rakyat Malaysia hanya mementingkan perut tanpa mempedulikan kepentingan awam dalam memilih kerajaan.

Sehubungan itu, beliau turut menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Shahanim kepada rakyat akibat keterlanjuran kata-kata yang dibuat oleh pemimpin Puteri Umno itu.
Kenyataan Shahanim dipetik dalam The Malaysian Insider bertarikh 28 November lalu sebagaimana berikut: “Rakyat senang sahaja…rakyat tidak fikir dah isu, bila dekat pilihan raya, mereka fikir perut dia sendiri sahaja, siapa yang tolong (baiki) rumah dia, perut dia.”

Wan Mohd Azziadi turut melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan sedemikian yang dilihat menghina rakyat khususnya pengundi, apatah lagi dikeluarkan oleh pemimpin sayap parti Umno.

Katanya, kenyataan itu secara tidak langsung turut menimbulkan tanda tanya sama ada kejayaan BN mentadbir negara hari ini hasil daripada mengutamakan ‘perut’ sendiri atau sebaliknya.

“Sebagai rekod, sejak pilihan raya pertama diadakan di negara ini, Umno dan Barisan Nasional (BN) yang dahulunya dikenali sebagai Parti Perikatan tidak pernah kalah sehingga ke hari ini.

“Ia mewujudkan persoalan adakah selama ini rakyat memilih Umno dan BN hanya kerana mereka telah berjaya mengutamakan ‘perut’ mereka semata-mata?” katanya.