Thursday 26 December 2013

110 helai Sejadah Ke Kuantan dan Chukai oleh Team Prihatin Jingga13 untuk Surau dan Mangsa Banjir


Shah Alam - Ketua Koordinator Jingga13 Malaysia, Fariz Musa telah menyerahkan sejumlah 110 helai sejadah kepada Team Prihatin Jingga13 yang diketuai oleh Komrad Eja, Timbalan Setiausaha 2 Jingga13 Malaysia dalam Misi Prihatin Jingga13 Malaysia untuk diagihkan di Chukai dan Kuantan.

"Duit sejumlah RM1550 adalah merupakan wang baki hasil sumbangan orang ramai ke dalam akaun segera Misi Prihatin Banjir di Pantai Timur dan Johor atas nama Bendahari Jingga13 Malaysia" ujar Fariz Musa.

Justeru itu, sejumlah 50 helai sejadah akan diserahkan kepada YB Fauziah Salleh untuk diagihkan di surau-surau sekitar Kuantan yang turut ditenggelami air banjir tempohari dan 60 helai sejadah lagi akan diagihkan ke rumah-rumah di sekitar Chukai, Kemaman terutama di kawasan yang teruk ditenggelami air banjir.

"Jingga13 Malaysia merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga prihatin yang telah menyalurkan wang bantuan melalui akaun bank tersebut yang telah digunakan untuk menghantar Team Prihatin ke Kuantan, Chukai dan Pekan bagi membantu mangsa-mangsa banjir, membersihkan rumah-rumah mereka. Selain itu wang sumbangan tersebut juga digunakan untuk mengagihkan sejumlah 250 kampit beras 5kg ke Kuantan, Chukai, Pekan dan Dungun, serta membeli barang-barang makanan, alat-alat tulis, barang bayi dan perkakas membersih rumah " ujar Ketua Koordinator Jingga13 Malaysia lagi.

Setiap aktiviti Misi Prihatin Jingga13 telah dimuatkan di dalam blog Jingga 13 Malaysia sebagai bukti bahawa segala wang sumbangan orang ramai telah digunakan dengan betul dan amanah. Orang ramai bolehlah melayari http://jingga13malaysia.blogspot.com atau melayari page Jingga13 Malaysia di  https://www.facebook.com/Jingga13Malaysia

Jingga13 Malaysia juga ingin mengucapkan selamat pergi dan pulang kepada Team Prihatin ke Kuantan dan Chukai yang turut membawa bersama beras, pakaian terpakai dan baju sekolah hasil sumbangan orang ramai dalam bentuk barangan.